AZLEE sibuk jayakan rakaman Senario Toons.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas sihat sepenuh­nya daripada pembedahan membuang batu dalam hempedu sebelum ini, nama pelawak Azlee Senario seakan-akan menyepi.

Mungkin kerana kurang publisiti, ada segelintir pihak menganggap Azlee sudah bersara atau tidak aktif dalam bidang hiburan kerana memberi fokus pada perniagaan diceburinya.

Tidak kurang juga yang mendakwa, dia sudah tidak lagi bersama Senario kerana mereka berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Ketika ditemui RAP, pemilik nama sebenar Mohd Azlee Jaafar, 47, menafikan perkara itu.

Menurutnya, Senario masih wujud walaupun dia dan dua lagi anggota asalnya iaitu Lan Pet Pet dan Wahid sudah menamatkan kontrak dengan TV3, baru-baru ini.

“Walaupun kami sudah tidak terikat dengan TV3, Senario belum berpecah dan kami sering berhubung dan bertanya khabar per­kembangan masing-masing.

“Terbaru, kami sibuk menjayakan program animasi sebanyak 13 episod Senario Toons yang masih dalam proses pembikinan. Setakat ini, siri animasi

ini sudah siap dan membabit­kan enam episod,” katanya.

Menurut Azlee, dia juga diberi kepercayaan memegang dua watak iaitu sebagai Azlee dan Pak Jaafar dalam siri animasi berkenaan.

“Siri animasi ini memaparkan kisah sekumpulan kanak-kanak yang belajar di sekolah dan tinggal di kampung sama. Apa yang menarik, ia turut menyelitkan kisah sebenar perjalanan hidup kumpulan Senario pada akhir program berkenaan.

Senario mahu sertai Maharaja Lawak Mega tahun depan

Tidak dapat dinafikan Senario yang sudah bertahan lebih 20 tahun dalam bidang hiburan pernah diiktiraf sebagai kumpulan lawak nombor satu negara tidak lama dulu.

Justeru, bagi mengembalikan semula kegemilangan Senario, Azlee berkata, pihaknya merancang untuk buat ‘comeback’ tidak lama lagi. Selain bakal muncul dengan program animasi, Senario juga turut merancang untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) pada tahun depan.

“Pada pandangan saya, MLM adalah program realiti yang bagus kerana berjaya melahirkan lebih ramai pelawak berbakat termasuk pelapis yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk mewarnai dunia hiburan.

“Jika diberi peluang, kami juga merancang untuk me­nyertai MLM kerana ramai peminat setia Senario yang memberi sokongan padu kepada kami untuk me­nyertai program itu.

“Kami merancang untuk menyertai MLM bukan untuk menang, sebaliknya ingin mengerat­kan semula hubungan dengan rakan-rakan lama, ­sekali gus mengubat rindu peminat pada Senario,” katanya.

Berkongsi rahsia mereka mampu bertahan, kata Azlee, mereka tidak pernah bersikap sombong depan peminat Senario sehingga sekarang.

“Saya berharap pelawak generasi baru yang sibuk membina nama supaya bersikap merendah diri dengan orang ter­utama peminat. Jika mereka berlagak sombong dengan peminat, percayalah, mereka tidak akan pergi jauh dan bertahan lama dalam bidang hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 10:46 AM