TIDAK kekok dengan teknologi.
PERLU berubah daripada hanya pengguna teknologi kepada pembuat.
KANAK-KANAK perlu minat Stem.
YASMIN memulakan tugas di MDeC.
Oleh Afiq Hanif


Menduduki kerusi panas MDeC yang bertanggungjawab ke atas perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini bukan mudah apatah lagi jika pandangan skeptikal mengatakan wanita tidak layak menerajui bidang bersifat teknikal yang dikuasai lelaki.

Namun bagi Yasmin Mahmood, ia bukan penghalang untuk menaikkan industri ICT ke satu tahap lebih tinggi apatah lagi dengan Wawasan 2020 semakin hampir.

Menempelak tanggapan sesetengan pihak wanita tidak boleh menerajui ICT, Yasmin membuktikan beliau sudah berjaya mengepalai pelbagai syarikat multinasional seperti HP dan Microsoft, malah beberapa kali cuba dilamar syarikat ICT lain.

Namun hatinya yang ingin berkhidmat untuk negara membuatkan beliau tidak mampu menolak lantikan yang dibuat sendiri Perdana Menteri bagi menerajui badan induk ICT yang membawa iniasiatif Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Mengulas mengenai misi beliau, Yasmin berkata, beliau bergantung pada bakat tempatan dalam MDeC untuk membantu merealisasikannya.

“Salah satu matlamat yang perlu dilaksanakan termasuk merealisasikan Digital Malaysia menerusi pelbagai inisiatif.

“Antara program yang digariskan pasukan di MDeC termasuk aktiviti ‘crowdsourcing’ yang mana kerja tertentu boleh dipamerkan secara ‘online’ bagi membantu golongan dalam kumpulan 40 peratus terendah (B40) dalam piramid pendapatan meningkatkan taraf kehidupan,” katanya.

Inisiatif kerajaan dikenali eRezeki terbabit membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020.

“Inisiatif baharu di bawah Digital Malaysia itu akan menghubungkan komuniti B40 di negara ini dengan pendapatan digital tempatan dan global,” kata Yasmin.

eRezeki akan dilaksanakan di beberapa Pusat Kerja Digital termasuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC), kolej dan universiti serta masjid untuk memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah di dalam dan luar bandar.

Ia termasuk satu siri Program Keupayaan Digital yang akan melatih dan memadankan 400,000 ahli komuniti B40 dengan keupayaan melakukan tugas mikro daripada sumber dalam dan luar negara, sekali gus membantu mereka mendapat pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020.

Yasmin berkata, projek percubaan membabitkan eRezeki yang dimulakan mendapat maklum balas memberangsangkan daripada ahlinya.

“Ada suri rumah yang menyertai program mampu membawa pulang pendapatan tambahan RM300 hingga RM600 dengan kerja ringkas, sekali gus mampu menyara keluarga meskipun nilainya tidak terlalu tinggi.

“Kerja sambilan diperoleh daripada Internet yang menghubungkan komuniti meskipun anda tidak pakar teknologi,” katanya.

Malah, menurut Yasmin, hasil dorongan itu, suri rumah terbabit kini mula menyertai kelas berkaitan ICT bagi meningkatkan kemahiran.

“Kita boleh crowdsourcing untuk maklumat seperti Wikipedia dan kita pasti boleh sasarkan terutama kepada wanita.

“Memperkasakan wanita adalah subjek yang dekat di hati saya memandang­kan pada masa ini, terdapat banyak isu sebenar wanita dalam tenaga kerja,” kata Yasmin.

Beliau berkata, sebagai contoh, wanita mendapati sukar untuk kembali bekerja selepas bersalin kerana mereka tidak mampu untuk menyepadukan kerja mereka dan kehidupan berkeluarga.

“Namun, mereka masih boleh menjadi lebih produktif jika diberi sokongan dan fleksibiliti, misalnya bekerja dari rumah dan dapat melaksanakan tugas mereka melalui sambungan Internet,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, MDeC bekerjasama dengan Talent Corp Malaysia melalui program yang dikenali sebagai ‘Wanita Kerjaya Datang Kembali’ untuk mewujudkan persekitaran yang mana wanita boleh meluaskan kerjaya mereka.

“Saya percaya usaha itu amat berbaloi kerana ia membuktikan bahawa kepelbagaian dalam tenaga kerja mendatangkan hasil yang baik untuk perniagaan,” katanya.

Yasmin turut menyentuh galakan kepada golongan belia mengamalkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) dalam kehidupan mereka.

“Hari ini, ramai anak-anak hanya menjadi pengguna teknologi, bukan pengeluar. Kita perlu memupuk semangat sebagai pengeluar teknologi untuk bergerak ke hadapan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan bukan lagi pengguna semata-mata,” kata Yasmin.

Menurutnya, ramai kanak-kanak tidak berminat dengan matematik dan sains hari ini dan dikhuatiri tidak lama lagi, Malaysia akan menghadapi masalah kekurangan bakat Stem yang akan menjadi penghalang untuk mencapai Wawasan 2020.

“Oleh itu, kita perlu menangani perasaan takut pada Stem dalam kalangan kanak-kanak terutama kanak-kanak perempuan,” jelasnya.

Yasmin berkata, Malaysia perlu pendekatan baru yang boleh memberitahu mereka sains itu menarik dan penuh keajaiban.

“Kemahiran yang mereka akan belajar melalui Stem bukan saja penting untuk mendapat gred yang baik, tetapi untuk kegunaan dalam dunia sebenar,” katanya.

Ramai pelajar masih tidak jelas pilihan kerjaya yang ditawarkan Stem, malah ada yang mempunyai pandangan yang terhad mengenai jurusan terbabit.

“Oleh itu, minda perlu berubah dan keyakinan terhadap Stem perlu dikembalikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 11:28 AM