NOR Haliza menunjukkan produk makanan bayi dihasilkannya, BeBJ.
NOR Haliza menunjukkan produk makanan bayi dihasilkannya, BeBJ.
NOR Haliza menunjukkan produk makanan bayi dihasilkannya, BeBJ.
NOR Haliza menunjukkan produk makanan bayi dihasilkannya, BeBJ.
PRODUK makanan bayi BeBJ.
PRODUK makanan bayi BeBJ.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Pemakanan yang seimbang dan penuh nutrisi sememangnya penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat zat secukupnya untuk membesar dengan sempurna dari segi mental dan fizikal.

Diet merangkumi semua jenis kumpulan makanan menentukan kanak-kanak mendapat mineral, vitamin, protein, karbohidrat dan lemak baik untuk membantu pertumbuhan terbaik.

Namun tidak dinafikan, kebanyakan kanak-kanak agak cerewet apabila membabitkan soal makanan, malah ramai anak kecil kurang berselera untuk makan hingga berat badan sukar meningkat.

Keadaan yang berlaku selalunya membuatkan ibu bapa bimbang mengenai pertumbuhan anak mereka selain kesihatan anak mudah terjejas.

Bagi Nor Haliza Ghazali, 33, perkara paling penting dalam penyediaan makanan untuk anaknya adalah makanan perlu sihat, seimbang dan memiliki rasa yang enak tanpa penggunaan bahan pengawet atau perasa tiruan seperti garam dan gula.

Dia akui, kesibukan di tempat kerja menyebabkan penyediaan makanan anak menjadi sukar, malah kadangkala ramai ibu bapa terpaksa membiarkan saja orang gaji menyediakan makanan yang kemungkinan kurang berkhasiat atau tidak menepati selera anak hingga mereka enggan makan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, tugasnya yang bekerja dalam bahagian sokongan teknikal membuatkan dia hampir tidak berpeluang bermesra dengan anak, apatah lagi menyediakan hidangan untuk anak kerana tuntutan kerja yang begitu sibuk.

“Bayangkan setiap hari saya keluar rumah sebelum matahari terbit dan hanya pulang ke rumah apabila malam. Hampir setiap hari tidak nampak siang hingga segala urusan menjaga anak dan menyediakan makanan terpaksa diserahkan kepada pengasuh.

“Apabila anak kedua berusia empat bulan, saya membulatkan tekad berhenti kerja untuk memberi tumpuan penuh kepada anak-anak.

“Saya berazam mahu masak sendiri, menyediakan masakan yang lengkap dengan nutrisi dan seimbang untuk memastikan pertumbuhan sihat anak-anak,” katanya.

Keengganan memberikan makanan bayi siap segera kepada anak-anak membuatkan Nor Haliza mula giat menggunakan enjin carian di Internet untuk mencari sebanyak mungkin maklumat berkenaan penyediaan makanan bayi dan kanak-kanak kecil.

Segala maklumat yang diperoleh diamalkan sebaik mungkin dan bermulalah episod ibu muda itu mengadun sendiri bahan segar seperti sayur, buah, daging, ayam dan pasta yang mampu menghasilkan rasa sedap dan menyelerakan buat anak-anaknya tanpa menggunakan walau sedikitpun perasa tambahan seperti gula atau garam.

Dia juga rajin berkongsi perkembangan menarik menyediakan makanan anak di rumah untuk tatapan rakan-rakan yang memiliki anak sebaya.

Kebetulan rakan-rakan yang sibuk dengan kerjaya tertarik dengan penyediaan makanan yang dilakukan sendiri oleh Nor Haliza menggunakan bahan segar lalu memintanya membantu menyediakan untuk anak mereka.

Biarpun pada awalnya, dia melakukannya sekadar suka-suka, melihat kepada permintaan ramai yang semakin meningkat, tercetus idea untuk menubuhkan perniagaan makanan bayi dan bergiat secara serius supaya lebih ramai ibu dapat memberi makanan berkhasiat buat anak mereka.

Bertitik tolak dari situ, Nor Haliza menubuhkan perniagaan dalam talian, Baby Eats By Justlixa (BeBJ), yang memudahkan penyediaan makanan berkhasiat dengan hanya memanaskan atau dicampur dengan nasi atau bubur untuk menghasilkan hidangan menyelerakan.

“Saya dan suami sangat menjaga kualiti, apatah lagi memikirkan makanan yang dihidangkan adalah untuk anak kecil seperti anak kami, tentu kami mahu anak kami mendapat yang terbaik.

“Kami hanya memilih bahan terbaik untuk mendapatkan rasa yang lazat dan diadun sendiri di rumah sebelum dibungkus dalam bekas kecil.

“Memang mengejutkan apabila mendapat maklum balas sangat positif daripada ibu bapa yang mengatakan anak mereka makan dengan berselera, malah makanan juga ditambah.

“Setiap pesanan akan dibuat terlebih dulu dan kami juga sudah melantik 21 ejen di beberapa negeri untuk me­ngedarkannya kepada pelanggan.

“Makanan yang sudah dibuat akan dibekukan terlebih dulu sebelum dihantar kepada pelanggan dan mereka hanya perlu memanaskannya sebelum diberi kepada anak-anak mereka,” katanya yang turut memaparkan menu hidangan BeBJ diInstagram/babyeatsbyjustlixa dan Facebook/baby eats by justlixa.

Nor Haliza berkata, pemilihan makanan halal sangat dititikberatkan selain pemilihan ayam organik kerana ia tidak mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan alahan kepada kanak-kanak.

Melihat kepada perkembangan permintaan yang semakin meningkat, suaminya, Mohd Nizam Zainudin, 30, turut melepaskan jawatan dalam bidang sama untuk membantu penyediaan makanan bayi di dapur bersama isterinya.

Kata Nor Haliza, suaminya seperti ‘chef’ yang begitu bijak membuat formulasi adunan bahan hingga terhasil makanan yang lazat melalui eksperimen ‘cuba-cuba’ yang dilakukan mereka.

“Minat mendalam suami dalam masakan dan sikapnya yang hanya mahukan terbaik banyak membantu menghasilkan pelbagai resipi enak untuk bayi dan kanak-kanak.

“Jika dulu kami bermula dengan 10 menu, kini kami sudah ada 18 menu yang boleh dipilih ibu bapa. Jika beli dengan minimum 100 bekas, kami akan beri harga diskaun. Jika tidak, setiap pakej ada harganya mengikut bahan yang digunakan,” katanya.

Nor Haliza puas hati dapat menjaga dan menyediakan sendiri makanan untuk anaknya, namun permintaan yang semakin meningkat membuatkannya mula merancang untuk meluaskan perniagaan dengan melantik ejen selain membuka kedai bagi memudahkan ibu bapa datang membeli.

Katanya, peningkatan permintaan yang mendadak membuatkan dia dan suami ada kalanya tidak menang tangan dan kini mendapatkan bantuan dua lagi ahli keluarga bagi melancarkan urusan pembungkusan.

Apa yang membuatkan perniagaan wanita peramah dan kaya dengan senyuman itu berbeza adalah penggunaan bahan yang benar-benar segar tanpa sebarang pengawet atau perasa serta menganggap setiap pelanggan seperti rakannya sendiri.

“Selain rasa lazat dan warna menarik, makanan yang diadun juga memiliki bau enak. Kombinasi ini membuatkan anak-anak kecil berselera makan.

“Setiap makanan yang dijual segar dan ibu bapa boleh simpan di dalam tempat sejuk beku selama tiga bulan dan dipanaskan saja sebelum diberikan kepada anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 12:13 PM
Digital NSTP Subscribe