REUS mahu terus sumbang keringat di tempat kelahirannya.
REUS mahu terus sumbang keringat di tempat kelahirannya.
AFP

Berlin: Keputusan bintang Jerman, Marco Reus untuk kekal selama empat tahun lagi di kelab bermasalah Borussia Dortmund satu berita gembira dalam perjuangan mereka mengelak tersingkir ke liga bawahan buat kali pertama sejak 1972.

Penyokong Dortmund lega mendengar khabar kelmarin apabila Reus menandatangani kontrak sambungan hingga 2019, menamatkan beberapa minggu penuh spekulasi mengenai perpindahannya.

Selepas menyaksikan Mario Goetze dan Robert Lewandowski meninggalkan kelab itu dan menyertai kelab musuh Bayern Munich dua tahun lalu, bos Borussia berusaha mengekalkan Reus.

Pemain sayap kiri berusia 25 tahun itu dikaitkan bukan saja dengan Bayern malah Manchester United dan Real Madrid.

Ketika Borussia merudum dalam liga dan kemudian menjejak tangga tercorot awal bulan ini, mereka dijangka kehilangan pemain tengah itu.

Namun, Reus yang dilahirkan di Dortmund menolak tawaran kelab ternama Eropah sebaliknya berusaha membantu kelab kampung halamannya.

Dia menganggap ia sebagai satu ‘keputusan seumur hidup’ dan akan hanya berusia 30 tahun apabila kontraknya tamat.

“Saya berasa ia tidak akan berakhir, lagipun situasi semasa tidak mudah,” kata Reus.

“Kami jatuh dan bangun bersama, ia satu keputusan seumur hidup, saya sudah memikirkannya agak lama, tapi saya gembira.

“Saya mahu membantu Dortmund keluar daripada situasi semasa.

“Saya membesar di sini, dilahirkan di sini dan saya berasa selesa di sini, setiap orang yang mengenali saya akan memberitahu anda apa pentingnya keselesaan buat saya. Kadang kala ia tidak terhingga nilainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:20 AM