NOR Aida menunjukkan masak lemak keli salai terung telunjuk dan siput sedut keladi yang popular di restorannya.
Oleh Rosman Shamsudin
rencana@mediaprima.com.my


Penggemar masakan ala kampung jangan lupa singgah ke Restoran Cahaya Qaseh di Jalan Makmur, Slim River, Perak kerana ada kira-kira 40 jenis masakan ala kampung untuk makan tengah hari.

Masakan ala kampung di restoran ini adalah resipi turun-temurun pemilik restoran itu, Nor Aida Abdul Malek, 40, daripada ibunya.

Antara masakan ala kampung yang popular di restoran ini ialah masak lemak siput sedut keladi dan keli salai terung telunjuk yang dihidangkan bersama ulam-ulaman kampung serta sambal belacan.

Nor Aida berkata, restoran ini juga menyediakan kerabu pucuk paku bersama daun salom, masak lemak telur itik pucuk ubi, pejeri terung dan ikan patin tempoyak.

Dia menggunakan rempah-ratus tempatan yang diproses sendiri supaya hidangan itu lebih enak selain melayan permintaan pelanggan yang gemar masakan kampung.

“Masak asam keladi juga digemari pelanggan sehingga mereka berpeluh menikmati hidangan itu.

“Harga makanan di restoran ini berpatutan kerana bahan mentah mudah didapati di kawasan sekitar,” katanya.

Dia menggunakan wang simpanan sendiri berjumlah RM30,000 untuk membuka restoran itu.

Restoran itu dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi.

Dia yang berasal dari Kampung Balun berkata, pada Sabtu dan Ahad, Nor Aida hanya menumpukan untuk menyiapkan tempahan majlis perkahwinan dan majlis keraian setempat dengan pelbagai jenis masakan tradisional dan moden.

“Masakan ala kampung tradisional mempunyai cita rasa unik dan bukan semua orang mampu menyediakannya dan saya bersyukur dapat mewarisi ilmu masakan ini daripada ibu.

“Saya gembira dan berpuas hati kerana masakan ala kampung yang saya warisi daripada ibu bukan hanya boleh dinikmati bersama keluarga, tetapi dirasai penggemar masakan kampung,” katanya.

Menurutnya, di restoran ini pelanggan boleh mengambil makanan secara layan diri atau memesan hidangan di meja mengikut cita rasa sendiri.

Jika berminat singgah di restoran ini, dari Kuala Lumpur ikut susur keluar tol Slim River dan belok ke kiri serta menuju simpang masuk arah kiri kira-kira 200 meter saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 10:16 AM