Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang lelaki parah manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki merempuh lori kontena yang melintang di Kilometer 235.9 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Pedas-Linggi, malam tadi.

Pemandu MPV dikenali Ang Sam, 62, tersepit di tempat duduk manakala tiga lagi penumpang warga Bangladesh iaitu Abu Taher, Puran Sandar dan Santosh Kumar mengalami kecederaan ringan.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, lori kontena dikatakan hilang kawalan selepas terlanggar kenderaan lain di hadapannya lalu terbabas dan melintang jalan.

Kereta dipandu Ang gagal mengelak dan merempuh bahagian tangki minyak kontena berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, pemandu tersepit dan cedera parah di kepala manakala tiga penumpang serta pemandu lori kontena mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini, untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 12:31 PM