PASUKAN Williams (kanan) diekori pasukan Canfield pada suku akhir pertama di Danga Bay, Johor Bahru.
PASUKAN Williams (kanan) diekori pasukan Canfield pada suku akhir pertama di Danga Bay, Johor Bahru.
Oleh Mohd Fahd Rahmat


Johor Bahru: Lapan pasukan berentap dalam dua pusingan suku akhir pada saingan Piala Monsun 2015 di venue Danga Bay semalam.

Kumpulan pelayar itu mara menyingkirkan wakil tunggal negara, Jeremy Koo bersama Bjorn Hansen dari Hansen Sailing, Johnie Hansen (Stena Sailing) dan Maximilian Soh (Red Dot) dalam sesi kelayakan.

Juara dunia empat kali, Ian Williams dari pasukan GAC Pinder dan juara bertahan, Taylor Canfield menepati ramalan apabila mudah meninggalkan saingan masing- masing bagi memperoleh dua mata.

Namun, kejutan muncul apabila Eric Monnin dari Swiss Match Race turut mengutip dua mata selepas mengalahkan pelayar New Zealand, Phil Robertson dari WAKA Racing.

Aksi Monnin itu, menyebabkan dia menjadi pencabar pilihan kejohanan, Williams dan Canfield dari pasukan US One.

Pada aksi semalam, Monnin pelayar terakhir layak ke suku akhir apabila memperoleh lima mata daripada keseluruhan 12 perlumbaan.

Monnin berkata, nasib menyebelahi pasukannya apabila mempamerkan aksi konsisten.

“Jika tersilap sedikit, kami akan mengalami nasib buruk dan terpaksa bekerja keras untuk mengelakkannya” katanya.

Sementara itu, Canfield berkata, pasukannya berharap mengekalkan momentum kemenangan dalam baki perlumbaan.

“Kami gembira dengan pencapaian ini,” katanya yang perlu meraih satu lagi mata untuk layak automatik ke separuh akhir.

Pelayar Australia, Keith Swinton dari Alpari FX dan Mathieu Richard dari Lunajets masing-masing menang satu dan kalah satu perlumbaan.

Bagaimanapun, harapan layak ke separuh akhir secara automatik hari ini masih ada kerana sudah mengumpul tiga mata.

Piala Monsun menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM1.4 juta, disertai 12 pasukan dan kali pertama diadakan di luar Terengganu yang menjadi penganjur sejak 2005.

Malaysia satu-satunya negara Asia terpilih menjadi venue kejohanan AWMRT selepas Jerman, Sweden, Poland, Amerika Syarikat dan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:33 AM