Beijing: Seorang doktor tidak berlesen di Fujian disyaki melarikan diri ke Sichuan selepas mayat pesakitnya yang dikerat beberapa bahagian ditemui terapung di dalam sungai.

Seorang tukang cuci menemui mayat yang dikerat itu - yang dibungkus dalam beg plastik dan dicampak ke sungai - pada 31 Januari lalu.

Polis mengenal pasti mangsa lelaki berusia 39 tahun hilang selepas mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Dia dilaporkan memilih klinik yang tidak berlesen kerana tidak mahu membayar bil hospital.

Keputusan bedah siasat mendedahkan mangsa mati selepas disuntik IV atau menerima suntikan ubat salah.

Doktor palsu terbabit kemudian cuba menghapuskan bahan bukti dengan memotong badan mangsa dan mencampaknya ke sungai sebelum melarikan diri.

Gambar disiarkan polis menunjukkan dua bilik usang yang hanya dilengkapi beberapa kerusi dan katil tanpa peralatan perubatan.

Bulan lalu, seorang budak berusia 11 tahun yang menghidap sakit kerongkong ditemui maut selepas doktor tidak berlesen di Henan cuba merawat dengan menebuk tonsil mangsa sehingga menyebabkan pendarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:28 AM