CHEN diheret keluar dari hospital oleh anggota polis.

Beijing: Selepas menjadi ‘penduduk tetap’ hospital untuk hampir tiga setengah tahun, seorang warga emas akhirnya berjaya diusir keluar dari katilnya.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Chen itu terbabit dalam kemalangan kereta pada Ogos 2011 dan dibawa ke Hospital Beijing Jingmei Group.

Chen dibenarkan pulang selepas sebulan tetapi dimasukkan semula ke hospital kerana bengkak pada kakinya.

Selepas tiga bulan dia sekali lagi dihantar pulang, namun berkeras kakinya masih sakit dan tidak dapat diluruskan, lapor China Youth Daily.

Doktor yang merawatnya, Dr Zhang Jinying berkata, pesakit berumur 55 tahun itu berkeras mahu dijaga pihak hospital walaupun dibenarkan pulang malah sanggup terlepas perkahwinan anaknya. Beberapa notis dihantar kepada Chen tetapi tidak diendahkannya.

“Kos tanggungan Chen sekurang-kurang dua juta yuan (RM578,000) namun dia tidak pernah membuat bayaran langsung,” katanya.

Chen dan isterinya tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.

Akhirnya, pihak hospital membawa kes itu ke mahkamah, namun Chen tetap enggan bekerjasama selain mendakwa pihak hospital memalsukan keputusan ujian kesihatannya.

Chen turut mendakwa tidak percaya pada undang-undang.

Bagaimanapun, dia akhirnya bersetuju menjalani beberapa ujian seterusnya membolehkan mahkamah mengarahkannya dia diusir dari katil hospital kesayangannya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:29 AM