HIJJAZ akan berangkat ke Syria untuk misi kemanusiaan.
HIJJAZ akan berangkat ke Syria untuk misi kemanusiaan.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim).

Atas faktor itu, Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Ali XPDC dan kumpulan nasyid Hijjaz akan bersama-sama Malaysian Consultive Council For Islamic Organization (MAPIM) ke Syria pada 25 Febuari hingga 4 Mac ini.

Misi kemanusiaan itu untuk membantu situasi yang meruncing di kem pelarian menyebabkan rakyat negara itu memerlukan bantuan kecemasan berbentuk makanan dan keperluan bagi menghadapi musim sejuk yang melampau.

Bertuahnya Yatt, 34, kerana pemergiannya ke sana ditemani suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 34, yang amat memahami perjuangan isterinya itu.

Sejak awal penghijrahan Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, Mutalib adalah pendamping setianya dan begitu menyokong kerja amal yang dilakukan Yatt bersama rakan artis lain.

“Alhamdulillah, suami berada di jalan dan landasan yang sama dengan saya. Allah mendengar dan mengabulkan niat saya untuk ke Syria dan tambah gembira suami dapat pergi bersama.

“Sejak tahun lalu saya berhasrat untuk ke Syria dan nampaknya peluang diberikan MAPIM serta dengan izin Allah tahun ini saya dapat ke sana dan turut dilantik sebagai duta pertubuhan itu. Tidak lena tidur saya setiap kali mengenangkan nasib saudara Islam di sana tambahan ketika ini Syria mengalami musim sejuk.

“Hanya menghuni khemah yang tiada kemudahan lengkap untuk membendung cuaca sejuk, berbaju nipis dan tanpa makanan yang mencukupi, alangkah sengsaranya hidup mereka terutama bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ke sana, Yatt melatih diri makan ala kadar hanya untuk mengalas perut kerana MAPIM beritahu di sana sukar mendapatkan makanan.

“Mungkin di Syria nanti, kami dapat makan sekali atau dua kali saja sehari. Dari sekarang, saya mengelakkan makan makanan yang mewah. Kami juga diminta bersedia untuk merasai tidur di tempat kurang selesa dan menghadapi setiap risiko yang tidak diduga.

“Untuk kekuatan fizikal, saya dan suami bersenam. Di mana pun kita akan mati, apa pun doakan keselamatan kami di sana nanti dan semoga dengan kehadiran kami dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Sementara ketiadaan Yatt dan suaminya di tanah air, anak mereka, Suci Hanania dijaga ibu bapa Yatt.

Dalam pada itu, Heliza yang sudah biasa melihat penderitaan rakyat Palestin di Gaza, sekali lagi tidak menolak peluang untuk ke Syria.

“Hati saya meruntun-runtun ingin membantu masyarakat Islam di sana dan Alhamdulillah, ibu bapa saya mengizinkan saya pergi. Saya sudah membuat persiapan daripada segi mental dan fizikal serta seterusnya memperbanyakkan doa supaya perjuangan kami ini dipermudahkan Allah,” katanya.

Sementara itu, MAPIM kini berusaha mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk membina perigi, pusat pendidikan dan perubatan di negara itu.

Pengarah Strategik dan Hubungan Korporat MAPIM, Ahmad Sani Araby berkata, setakat ini mereka mengumpul RM600,000 dan berusaha menambahnya menerusi majlis makan malam amal di Restoran Ana Ikan Bakar Petai, Bandar Baru Bangi pada 21 Februari ini, jam 8 malam.

Antara atur cara termasuk perkongsian perkembangan terkini di Syria oleh aktivis jemputan, Sani Araby al-Kahery dan Fadzli Aziz.

Ini termasuk pengisian rohani oleh Ustaz Syaari al-Fateh dan Ustaz Halim Hafidz. Turut diadakan persembahan oleh barisan artis seperti Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Hijjaz, Ali XPDC, Al-Farabi, Soutul Amal, Dakme, Ammar Hamdan, Muadz, Imam Muda Fakhrul, Pencetus Ummah Izzat, Pencetus Ummah Rahmat, Deen Maidin, Bienda dan Anita Baharom.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:03 AM