MARCHIONNE bawa perubahan di Ferrari.
Agensi

Rome: Presiden Ferrari Sergio Marchionne tidak mengharapkan anak buahnya mencipta keajaiban pada perlumbaan pertama di Australia walaupun mencatat prestasi membanggakan pada sesi ujian.

Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen merakam masa terpantas sepanjang tiga daripada empat ujian pertama di Jerez minggu lalu.

Catatan itu hadir selepas kegagalan pasukan Itali itu memenangi perlumbaan sepanjang musim 2014.

“Saya gembira dengan prestasi jentera baru kami. Kami mencatat masa terpantas dengan jentera itu, tetapi untuk menang semua perlumbaan satu senario berbeza,” kata Marchionne.

“Saya yakin dengan usaha semua kakitangan dan bangga kesungguhan dan komitmen mereka.

“Kita perlu lihat apa yang akan berlaku apabila perlumbaan sebenar bermula di Australia. Saya tidak harapkan keajaiban, tetapi penting untuk melihat perkembangan berbanding sebelum ini.

“Pada sesi ujian di Barcelona bermula 19 Februari, saya mahu lihat bukti pencapaian kami.”

Musim 2015 yang menampilkan 20 perlumbaan bakal bermula pada 15 Mac di Melbourne.

Ferrari menduduki tangga keempat kategori pengeluar pada tahun lalu di belakang Mercedes, Red Bull serta Williams.

Marchionne mengambil alih tugas daripada Luca di Montezemolo hujung tahun lalu dan membuat beberapa perubahan terutama membabitkan pertukaran kakitangan.

Ketua pasukan, Marco Mattiaci dipecat dan dan digantikan Maurizio Arrivabene November lalu.

Pasukan itu turut menggunakan khidmat juara dunia empat kali, Vettel yang sebelum ini bersama Red Bull dan bergandingan dengan Raikkonen sambil Fernando Alonso berpindah ke McLaren.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:18 AM