PERMUKAAN padang keras dan tak rata ketika perlawanan KL SPA menentang Johor DT II.
PERMUKAAN padang keras dan tak rata ketika perlawanan KL SPA menentang Johor DT II.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Isu kualiti padang saingan Liga Perdana terus menjadi bualan apabila Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya disifatkan mengundang bahaya termasuk kecederaan kepada pemain.

Itu rumusan penolong jurulatih Johor Darul Ta’zim II (Johor DTII) Ramlan Rashid berhubung kualiti padang selepas menyaksikan anak buahnya beraksi 90 minit di stadium itu menentang SPA FC petang semalam.

“Keadaan padang mendukacitakan, ia keras dan tidak rata. Saya ingat perkara ini sudah lama dibangkitkan pihak media namun keadaan masih sama. Jika kita mahukan permainan berkualiti, kemudahan perlulah terbaik.

“Jika kekal (keadaan padang), bola sepak kita juga akan kekal seperti itu. Kita tidak boleh mempamerkan corak permainan diharapkan kerana keadaan padang. Saya harap perkara ini dapat diatasi,” katanya.

Isu padang menjadi bualan hangat pada aksi pertama Liga Perdana membabitkan pertemuan Kuala Lumpur menentang Sabah di Stadium Merdeka, Jumaat lalu.

Penyerang import Sabah dari Senegal yang juga bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf mengkritik keadaan padang sekali gus menyaksikan Kuala Lumpur terpaksa menggunakan Stadium UiTM bagi menentang PKNS FC petang semalam.

FAM bertindak pantas dengan mengarahkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mencari gelanggang lain dan perlu membaiki kualiti padang Stadium Merdeka seandainya mahu menggunakannya semula.

“Saya serahkan kepada pihak pengurusan andai mahu mengadukan perkara ini. Kami akan pulang dan memberitahu keadaan padang kepada pihak pengurusan ia tidak sesuai digunakan kerana keras dan tidak rata.

“Sesuatu perlu dilakukan demi bola sepak. Keadaan seperti ini berbahaya kerana mengundang risiko kecederaan kepada pemain,” jelasnya.

Johor DT II meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan SPA FC, 5-1 dengan penyerang muda, Shafiq Shahrudin meledak hatrik pertama Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:26 AM