Saya baru beli skuter jenama Suzuki VS125 terpakai pada tahun lalu. Bagaimanapun, skuter itu banyak mengalami masalah.

Selain ia hilang kuasa pecutan, karburetornya tidak terdaya berfungsi dengan baik sebaik memulas pendikit untuk menambah kelajuan.

Sebelum ini, saya ada membuka kotak angin kerana mekanik mendakwa ia akan memberi kuasa pecutan kepada motosikal itu.

Selain itu, adakah lebih baik sekiranya saya menggunakan omboh 150 cc kepada enjin motosikal berkenaan?

RAZIN, Johor Bahru

Tindak balas enjin yang tiada kuasa ketika memulas pendikit mungkin berpunca daripada penalaan karburetor kurang baik.

Karburetor yang mengalami limpahan turut menyebabkan enjin menjadi 'sebu' kerana campuran bahan api terlalu banyak akan membasahkan palam pencucuh.

Membuang penapis dalam kotak udara sebenarnya amalan yang tidak digalakkan. Ini kerana udara kotor boleh menyumbang sehingga 60 peratus kerosakan enjin kerana kemasukan kotoran ke dalam enjin secara berterusan.

Tanpa menggunakan kotak udara, enjin yang ditala semula dengan baik tentunya dirasakan lebih berkuasa.

Namun habuk akan mengakibatkan kehausan melampau pada omboh dan dinding enjin. Ia juga menjadi penyebab bahawa jentera anda seperti sudah hilang kuasanya.

Penukaran kepada omboh 150 cc adalah menyalahi undang-undang kerana kapasiti enjin ditambah dan tidak lagi sama dengan kapasiti asal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:00 AM