Minyak pelincir apakah yang paling sesuai dan terbaik untuk Proton Wira. Apakah kesan jika saya tukar kepada klac perlumbaan untuk menambah kuasa pecutan kereta itu?

WIRAWAN, Selangor

Setiap jenama minyak pelincir itu ada kelebihannya tersendiri. Pemilihan minyak pelincir perlulah mengikut spesifikasi dan keperluan enjin seperti dalam panduan pengeluar.

Pengeluar akan mencadangkan minyak berkualiti yang sudah diuji dan bersesuaian dengan kehendak kenderaan.

Paling penting ialah menggunakan gred minyak yang disarankan kerana ia mempunyai bahan tambahan tertentu bagi mempertingkatkan kemampuan pelinciran dan membersihkan enjin.

Minyak lebih tinggi gred API mampu menjanjikan prestasi yang terbaik ketika pemanduan kelajuan tinggi bagi tempoh lama atau dalam perlumbaan.

Penggunaan klac perlumbaan mampu meningkatkan daya pecutan jika digabungkan dengan rerumah klac perlumbaan.

Ini kerana, ia berupaya menghasilkan kuasa cengkaman terbaik terutama ketika melakukan pecutan dalam keadaan pantas.

Klac perlumbaan memerlukan kos yang tinggi, selain ia akan membebankan pemandu kerana terpaksa menekan klac lebih berat berbanding biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:00 AM