PENJAWAT awam dibawa ke mahkamah sesyen. FOTO Ramdzan Masiam
Oleh Salman Hamat


Butterworth: Lima penjawat awam dan seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan memperoleh suapan.

Tertuduh, Mohd Yusob Md Rodzi, 48; Amran Che Min, 38; Alis Md Yusof, 47; Shahirul Abdul Hamid, 40; Nor Roslan Che Ros, 53 dan Muhd Pakhri Hassan, 54, dituduh menerima suapan berjumlah RM250 hingga RM1,500 pada tahun ini dan tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack.

Julie membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 3:09 PM