Oleh Nurul Husna Mahmud


Pastri cukup rapuh bersama inti coklat dan hirisan badam di atasnya, membuatkan pencuci mulut Nutella Tart antara hidangan paling digemari sesiapa saja yang berkunjung ke restoran Kidz & Creme di Setia Alam.

Dekorasi pada piring berbentuk empat segi cukup minimum apabila di penjurunya terdapat hirisan strawberi bersama beri biru dipadan hiasan seperti awan larat menggunakan coklat di paip melengkapkan lagi hidangan pemanis mulut berkenaan.

Biarpun perut sudah penuh sebaik mencuba hidangan 'terang-kat' seperti mi rebus, stik burger dan stik rusuk (rib steak), selaku penggemar menu pencuci mulut, penulis sukar menolak tart coklat terbabit yang menjadi antara menu kegemaran ramai di restoran berkenaan.

Restoran Kidz dan Creme yang dimiliki aktor popular Aaron Aziz mempunyai ruang duduk cukup selesa. Tambah mengujakan sepanjang berada di situ, ia mempunyai spesifikasi cukup unik dalam pembahagian ruang makannya.

Terdapat sofa tinggi berwarna untuk tempat dua orang duduk, manakala pilihan meja kayu memanjang bersama kerusi bankuet sesuai buat mereka datang dalam kumpulan besar.

Menurut Aaron, selain ruang makan, terdapat sudut 'mesra kanak-kanak' sesuai untuk golongan itu bersantai selain kadangkala menyediakan aktiviti kelas memasak hujung minggu buat mereka.

Bagi golongan dewasa, mereka boleh menjamu selera tanpa perlu bimbangkan keselamatan atau anak mereka bosan. Secara peribadi aktor berkenaan membuka restoran itu kerana menyedari kurangnya tempat makan bercirikan 'mesra kanak-kanak' di sekitar Lembah Klang.

"Saya dan isteri Diyana Khalik sering membawa anak kami makan di luar. Setiap kali keluar, kami sukar mencari restoran sesuai untuk anak bersantai. Anak cepat bosan jika saya 'melepak' terlalu lama. Lalu saya terfikir mewujudkan restoran boleh menggabungkan makanan sedap sambil anak-anak boleh melakukan aktiviti mereka.

"Di situlah idea saya bersama isteri memulakan perniagaan makanan. Ia disokong rakan kongsi Norizan Said serta Chef

Mohd Redzal Othman yang sudi membantu dalam pemilihan menu untuk restoran.

"Kami mula operasi Ramadan lalu. Sejak itu, sering mendapat maklum balas cukup baik mengenai makanan mahupun restoran kami," katanya.

Aaron berkata, hidangan pencuci mulut serta 'signature' menu seperti stik burger dan Nutella Tart antara paling mendapat sambutan.

"Nutella Tart mendapat sambutan menggalakkan sehingga pelanggan yang datang jauh berbaloi sebaik mencubanya.

"Kami ada stik burger hidangan daging bersama sos khas dalam bentuk 'sandwic' bersama jejari kentang rangup sesuai buat mereka yang suka mencuba hidangan barat. Bagi hidangan tempatan, pelanggan boleh mencuba mi rebus," katanya.

Aaron pernah terbabit bidang F&B

Pelakon filem Suamiku, Perfect 10, Aaron Aziz pernah berkecimpung dalam bidang pengurusan makanan dan minuman (F&B) sebelum mengambil keputusan membuka restoran.

Menurut aktor berkenaan, peniagaan makanan memberi kepuasan selain pasarannya masih terbuka untuk diceburi.

"Membuka restoran bersesuaian dengan latar belakang saya yang pernah terbabit dalam bidang F&B, lebih sembilan tahun. Saya pernah terbabit dalam menyediakan tempat, menguruskan makanan dan urusan berkaitan.

"Meskipun bukan chef, saya meminati makanan sedap dan tahu kualiti sesuatu hidangan. Rujukan saya tentulah kenalan rapat termasuk isteri Sharif Sleek yang juga seorang chef dan banyak membantu saya memilih menu selain bantuan chef kami.

"Lokasi di Setia Alam dipilih kerana terletak berhampiran lebuh raya dan pusat beli-belah," katanya.

Dikunjungi pelanggan dari Kuala Lumpur dan Selangor, Aaron berkata, restoran itu turut mendapat perhatian peminat makanan dari luar Lembah Klang.

"Ada yang datang dari Negeri Sembilan dan Melaka untuk mencuba masakan di restoran ini termasuk peminat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:03 AM