PORSCHE Cayman GT4.
RUANG kabin yang kemas dengan material kulit dan Alcantara.
Oleh Erywan Norshal

Satu lagi model menarik keluarga Porsche menerusi varian kereta sport, Cayman GT4 yang bakal dipertontonkan pada peringkat global di Pameran Motor Antarabangsa Geneva, Switzerland bulan depan.

Ia adalah model pertama keluaran syarikat automotif Jerman itu yang memperkenalkan varian GT menggunakan model Cayman yang dibangunkan jabatan Motorsport di Weissach, Jerman.

Malah, ia turut menjadi penanda aras dalam segmen berkenaan selepas mampu mencatat kurang lapan minit ketika diuji Litar Nurburgring, Jerman.

Semua komponen termasuk enjin, kerangka, brek dan bentuk bagi Cayman GT4 dikonfigurasi semula untuk pemanduan dinamik yang maksimum.

Kerangkanya direndahkan sehingga 30 milimeter dengan sistem brek yang dipertingkatkan daripada komponen Porsche 911 GT3.

Rangkaian kuasanya menggunakan enjin 3.8 liter yang menyalurkan kuasa maksimum sehingga 385 hp yang berasal dari rangkaian kuasa 911 Carrera S.

Prestasi enjin itu disalurkan kepada kotak gear enam kelajuan manual yang mampu memecut 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 4.4 saat dan mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 295 km/j.

Penampilan Cayman GT4 jelas berbeza terutama bahagian hadapan serta spoiler belakang besar dan menjadi pakej aerodinamik yang direka secara sistematik untuk 'downforce'.

Bahagian dalaman direka dengan menggunakan kerusi sport yang menggabungkan material kulit dan Alcantara.

Ia turut ditawarkan pakej sporty membabitkan sistem brek seramik, tempat duduk kulit sepenuhnya diperbuat daripada gentian karbon, Pakej Sport Chrono dengan aplikasi 'Track Precision'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:04 AM