SMS dengan dakwaan palsu. JAKIM turut tegaskan individu bernama Haji Jalil Raihan yang didakwa pegawai JAKIM juga tidak wujud.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan semua produk yang dikeluarkan oleh kilang Munchy Food Industries Sdn Bhd (Munchy's) di Batu Pahat, Johor adalah halal.

Ini berikutan Sijil Pengesahan Halal dikeluarkan oleh agensi itu kepada syarikat terbabit didapati masih sah sehingga hari ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya tidak pernah membuat serbuan di kilang yang terletak di Tongkang Pecah, Batu Pahat itu, seperti didakwa pihak yang menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS).

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa individu bernama Haji Jalil Raihan yang didakwa pegawai JAKIM juga tidak wujud sama ada di Ibu Pejabat JAKIM di sini atau di Bahagian Hab Halal yang beroperasi di Cyberjaya.

“JAKIM melalui Bahagian Hab Halal menerima banyak pertanyaan dan aduan berhubung SMS yang menyatakan 'JAKIM telah membuat serbuan ke atas kilang Munchy's di Batu Pahat dan menemui stor arak.'

“Jadi, kami (JAKIM) ingin menjelaskan bahawa JAKIM tidak pernah melakukan serbuan seperti yang didakwa, sekali gus menafikan kewujudan pegawai yang menghantar SMS itu adalah pegawai kami di Putrajaya,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya umat Islam supaya merujuk www.halal.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan berhubung status Halal mana-mana produk.

Orang ramai kini mula panik apabila SMS yang memaklumkan mengenai serbuan JAKIM terhadap kilang Munchy's di Batu Pahat, Johor dan dalam serbuan itu JAKIM menemui stor arak yang didakwa digunakan sebagai salah satu bahan dalam biskut, keluaran syarikat itu.

Individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai JAKIM dikatakan meminta orang ramai menyebarkan maklumat itu demi kepentingan umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 4:23 PM