Skip this ad x
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang lelaki yang juga ahli kumpulan kongsi gelap maut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Utama 4, Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Banting, malam tadi.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena beberapa das tembakan di bahagian badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, mangsa yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumahnya selepas bertemu beberapa rakan sebelum kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa didatangi individu tidak dikenali sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya sebelum melarikan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan setakat ini dua lelaki berusia 26 hingga 29 tahun sudah ditahan awal pagi tadi di sekitar Banting untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 4:55 PM