PENGAMBILAN berlebihan membawa kepada penyakit tekanan darah tinggi.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Kita sering mendengar gesaan untuk mengurangkan pengambilan gula dan garam dalam diet seharian. Jika gula sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis, pengambilan garam berlebihan pula terbukti boleh merangsang masalah tekanan darah tinggi.

Hipertensi atau tekanan darah tinggi antara penyakit senyap yang boleh membunuh kerana ia mampu menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain tanpa tanda amaran.

Ramai tidak sedar mereka mengalami tekanan darah tinggi. Walaupun ia boleh diketahui melalui pemeriksaan mudah yang mengambil masa beberapa minit, ramai tidak menganggapnya sebagai perkara penting.

Tahukah anda bahawa kebanyakan kita mengambil garam melebihi apa yang diperlukan? Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari.

Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain menekankan menge­nai pengambilan gula ber­­lebihan, KKM juga terus memberi fokus dalam membentuk kesedaran kepada rakyat negara ini untuk mengurangkan pengambilan sodium.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, sodium banyak menyumbang kepada tekanan darah tinggi yang boleh menye­babkan penyakit jantung.

Menurutnya, tekanan darah tinggi membuatkan penghidapnya yang lebih cenderung kepada penyakit kardiovaskular.

“Tekanan darah tinggi adalah faktor terbesar me­nyumbang kepada kematian pramatang iaitu mati pada usia yang lebih muda,” katanya pada Seminar Kesedaran Garam di Institut Pengurusan Kesihatan Bangsar, baru-baru ini.

Menurut data WHO, kebarangkalian mereka yang meninggal dunia berusia antara 30 hingga 70 tahun daripada empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) iaitu diabetes, kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kanser adalah kira-kira 20 peratus.

Sodium biasanya terdapat dalam garam, tetapi ia juga boleh didapati dalam penambah rasa, makanan proses serta makanan dalam tin.

Dr Feisul berkata, salah satu cara untuk mengurang­kan pengambilan natrium adalah dengan memakan makanan segar dan mengurangkan penggunaan garam.

“Memeriksa label makanan antara cara lain untuk mengetahui dan membandingkan tahap natrium dalam makanan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga merancang untuk menyasarkan kanak-kanak sekolah bagi mendidik mereka mengenai risiko pengambilan natrium yang tinggi kerana ia penting untuk pendidikan dari usia muda.

“Salah satu pendekatan kami adalah menggunakan platform sedia ada seperti program Doktor Muda dan kelab kokurikulum di sekolah rendah untuk mendidik mereka mengenai isu kesihatan.

“Jika kita bermula dengan mendidik generasi muda, kita boleh memberi kuasa kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan lain yang diambil termasuk memberi kuasa kepada persatuan ibu bapa dan guru untuk memainkan peranan dalam isu berkaitan kesihatan serta pilihan makanan sihat di kantin sekolah.

Sementara itu, Pakar Dietetik Bahagian Kawalan Penyakit, Viola Michael berkata, jumlah pengambilan natrium yang dicadangkan adalah kurang daripada 2,000mg sehari iaitu kira-kira satu sudu teh.

“Garam dan bahan penambah rasa boleh digantikan dengan perisa semula jadi seperti herba dan rempah-ratus.

“Selain itu, tiada istilah garam ‘sihat’ kerana kebanyakan­nya mempunyai kandungan sodium yang sama. Ramai fikir natrium sama dengan garam tapi natrium boleh datang dalam bentuk yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, KKM akan menganjurkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia dari 9 hingga 13 Mac ini bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahayanya pengambilan garam secara berlebihan.

Seminar berkenaan pengambilan garam juga akan diadakan untuk orang awam pada 12 Mac ini di Kompleks KKM, Putrajaya dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:06 AM