WAWRINKA membalas pukulan lawan.
AFP

Rotterdam, Belanda: Stanislas Wawrinka menangani kehebatan servis pilihan kedua Milos Raonic sebelum menang 7-6 (7/3), 7-6 (9/7) untuk menempah pertembungan final menentang Tomas Berdych pada Kejohanan Tenis Dunia ATP Rotterdam, kelmarin.

Pilihan keempat dari Switzerland itu membenam 10 servis ‘ace’ ketika menyekat Raonic kepada hanya 13 ‘ace’ pada pertarungan separuh akhir dalam tempoh 98 minit. Wawrinka kini memiliki rekod permainan 4-0 ke atas pemain Kanada itu.

Juara bertahan Berdych mengikut perancangannya dan layak ke final kedua berturut-turut di Rotterdam apabila mengecewakan Gilles Simon dari Perancis 6-2, 6-1 dalam hanya 56 minit.

Wawrinka memburu kejuaraan keduanya musim ini selepas kejayaan di Chennai selain mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Pemain nombor lapan dunia itu berjaya menangani corak permainan Raonic sepanjang perlawanan dengan Wawrinka memastikan kemenangan pada mata penamat keduanya selepas dua kali menafikan lawannya itu yang cuba memaksa perlawanan berlanjutan ke set penentuan.

“Saya amat gembira layak ke final, ia amat menakjubkan buat saya,” kata Wawrinka yang kali terakhir beraksi di Rotterdam sedekad lalu. “Ini keputusan hebat.

“Sentiasa sukar jika menentang Milos dalam dewan dengan servis kencangnya. Sukar juga untuk mematahkan servisnya.

“Saya fokus sepenuhnya pada aksi tiebreak dan menumpukan permainan sendiri. Anda perlu terima dia akan melakukan banyak ‘ace’.

“Ia suasana hebat dan saya gembira melangkah ke final.”

Wawrinka dan Berdych akan bertemu buat kali ke-16 dengan pemain Switzerland itu kini memiliki rekod 10-5 selepas menang lima pertarungan terakhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:54 AM