Kuala Lumpur: Usia bukan penghalang buat pemain Pulau Pinang, Goh Jin Wei untuk menjadi perseorangan wanita paling muda merangkul kejuaraan Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015 semalam.

Pemain berusia 15 tahun itu mencipta sejarah apabila mengalahkan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lin Yun Fun 21-13, 22-24, 21-19 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Jin Wei yang baru saja menyambut hari lahirnya pada 30 Januari lalu mengambil masa 69 minit untuk muncul juara dan boleh melakukannya dengan straight set kerana pada satu ketika di set kedua dia mendahului 19-13 sebelum tewas 22-24.

Pada set penentuan, Jin Wei kerap melakukan kesilapan hingga memberi ruang kepada Yin Fun untuk merapatkan kedudukan selepas ketinggalan 11-19 namun pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 Perlis itu berjaya beraksi konsisten di saat akhir untuk mencipta kemenangan.

Menurutnya, pada set kedua, dia tidak dapat mengawal permainan kerana berasa kejang di bahagian otot perut dan terpaksa membenarkan Yin Fun menang sebelum bangkit set ketiga.

“Ini permulaan baik untuk saya kerana menang kejohanan tempatan. Kejayaan besar buat saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tamat semalam.

Jelasnya, perlawanan semalam memang memihak kepadanya kerana beraksi tanpa tekanan.

Pemain yang menjadikan ratu badminton Thailand, Ratchanok Intanon sebagai idola itu membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala Yin Fun RM1,500.

Sementara itu, Yin Fun memberitahu, kecederaan kaki kanan dialaminya pada set ketiga membuatkan aksinya terbatas dalam mengekang asakan Jin Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:28 AM