WARGA asing yang diperiksa dalam operasi malam tadi.
WARGA asing yang diperiksa dalam operasi malam tadi.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seramai 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Melaka (JIM) dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah malam tadi.

PATI dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Vietnam yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen dan Akta Imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Mahpof Mahmood berkata, dua wanita warga Vietnam berusia 20-an yang bekerja sebagai GRO turut ditahan.

"Operasi bersepadu ini membabitkan 33 pegawai dan anggota JIM bersama empat anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilakukan di empat lokasi iaitu masing-masing sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya dan Malim, manakala di rumah kampung di Bukit Pulau, Semabok serta di Taman Padang Jambu, di sini.

"Dua wanita Vietnam didapati melanggar syarat permit dan tinggal lebih masa di negara ini.

"Sementara itu, kita juga berjaya mengesan seorang lelaki Bangladesh berusia 24 tahun menggunakan pas lawatan palsu pada pemeriksaan di Bukit Pulau," katanya.

Beliau berkata, seramai 23 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan pihaknya berjaya menahan 13 daripada mereka berusia 24 hingga 53 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 1:11 PM