X
MESSI (kanan) diasak pemain tengah Levante, Simao Junior.
MESSI (kanan) diasak pemain tengah Levante, Simao Junior.

Madrid: Lionel Messi melengkapkan penampilan ke-300 La Liga dengan jaringan hatrik ke-31 bersama Barcelona ketika kelab Catalunya itu merapatkan jurang kepada satu mata dengan Real Madrid selepas menewaskan Levante, 5-0.

Bagaimanapun, juara bertahan Atletico Madrid kekal tujuh mata di belakang Real di tangga ketiga selepas tewas 0-2 kepada Celta Vigo.

Barca kini menang 11 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan tidak terjejas sekalipun jurulatih Luis Enrique melakukan lapan perubahan daripada pasukan yang menundukkan Villarreal pada aksi Piala Raja Sepanyol, pertengahan minggu lalu.

Messi mengumpan kepada Neymar untuk membuka tirai jaringan dan kemudian menjaringkan gol untuk melebarkan catatan sepanjang zaman miliknya dalam La Liga kepada 269 gol.

Bagaimanapun, pemain Argentina itu ditenggelamkan sedikit dengan gol menakjubkan pemain gantian Luis Suarez yang melengkapkan keputusan.

Kejayaan itu mengatasi rekod kemenangan berturut-turut Pep Guardiola ketika empat musim penuh di Nou Camp.

Namun, Enrique menegaskan kejuaraan pada hujung musim lebih penting.

“Rekod jelas satu perkara positif, tapi ia tidak menarik minat saya,” katanya.

“Pemain tidak terlalu bergembira kerana mereka sedar sukarnya untuk memenangi kejuaraan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:04 AM