WENGER (kiri) puas hati prestasi Giroud.
WENGER (kiri) puas hati prestasi Giroud.
AFP

London: Arsene Wenger percaya Olivier Giroud semakin matang di Arsenal selepas penyerang Perancis itu menjaringkan dua gol di Emirates untuk mengalahkan Middlesbrough 2-0 sekali gus membantu penyandang juara Piala FA Inggeris itu layak ke suku akhir.

Giroud menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit pada babak pertama membuatkan Wenger begitu teruja dengan cara gol itu dijaringkan.

Gol pertama selepas 27 minit hadir berikutan gerakan tersusun membabitkan setiap pemain dalam kesebelasan utama Arsenal.

Gol kedua pada minit ke-29, diilhamkan daripada kepantasan berfikir apabila Giroud bertindak segera berikutan sepakan sudut pantas Alexis Sanchez.

Wenger percaya penyudah itu sekurang-kurangnya hasil peningkatan dialami Giroud sejak tiba di Emirates pada 2012.

“Saya percaya Giroud kini seorang pemain berbeza berbanding ketika kali pertama tiba di sini,” jelas Wenger.

“Dia faham kehendak bola sepak tahap tertinggi, bekerja dengan penuh tumpuan ketika latihan, meningkatkan pergerakannya, kualiti teknikal. Sudah tentu badannya amat kuat dan dia gunakannya sebaik mungkin.”

Wenger turut ghairah dengan perbezaan karakter kedua-dua gol yang membuktikan kualiti pasukannya.

“Gol pertama apa yang kami cuba lakukan ketika menyerang,” kata Wenger.

“Gol kedua juga membuktikan permainan ini milik pemain. Ia membabitkan dua pemain yang bertindak pantas bagi satu situasi dan menganalisis secara pantas apa yang boleh mereka lakukan. Itulah asasnya hasil daripada kebijaksanaan dan teknik.”

Satu lagi perkara positif buat Arsenal pada kemenangan mudah itu adalah persembahan pemain baru Gabriel Paulista.

Pertahanan Brazil itu berjaya menyekat asakan Middlesbrough dan tidak tertekan sekalipun melakukan penampilan sulung bersama Gunners.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:12 AM