TERTUDUH didenda kerana mencuri setandan pisang. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM600 oleh Mahkamah Majistret, di sini,selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri setandan pisang, awal bulan ini.

Muhammad Hasmizi Jalil, 21, dari Kampung Balai Panjang, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri setandan pisang bernilai RM50 di kebun pisang Kampung Balai Panjang pada 12.30 tengah hari, 5 Februari.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh menyebabkannya dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.

Tertuduh yang diwakili Pelatih Dalam Kamar dari Pusat Bantuan Guaman negeri merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan bersifat denda kerana belum bekerja dan menjaga ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Juhari Haron merayu kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana mengacu pisau ke arah pemilik kebun yang cuba menangkapnya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norina kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman denda RM600 dan berdepan penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 3:21 PM