ARISSARA (depan) dan Naiyana diiring polis selepas hukuman denda dijatuhkan ke mereka. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Dua pelacur warga Thailand dijatuhi hukuman denda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melacur awal bulan ini.

Tertuduh Arissara Waiyabut, 26, dan Naiyana Jaithiang, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thailand.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di hotel dalam daerah Melaka Tengah, di sini, masing-masing pada 12.50 tengah malam dan 12.15 tengah malam 3 Februari lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dijatuhi hukuman ringan kerana mahu pulang ke negara asal untuk menjaga ibu bapa masing-masing.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Muhamad Juhari Haron bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengikut budi bicara mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norina kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh didenda RM900, namun jika gagal menjelaskan bayaran itu boleh dipenjara selama sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 5:45 PM