ABRAHAM
Reuters

Jakarta: Polis menamakan ketua agensi antirasuah Indonesia sebagai suspek dalam kes berkaitan pemalsuan maklumat pasport menjadikan Abraham Samad pegawai paling tinggi menjadi ‘mangsa’ perseteruan antara dua badan berkenaan.

Jurucakap polis wilayah Sulawesi Selatan, Endi Sutendi berkata, selepas menyoal siasat lebih 20 saksi, polis mendapati ada cukup bukti untuk menamakan Abraham sebagai suspek.

“Kejadian berlaku pada 2007,” katanya di sidang media yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan semalam.

Sebelum Abraham, timbalannya, Bambang Widjojanto disiasat polis bulan lalu atas dakwaan salah laku ketika dia menjadi peguam pada 2010.

Sesuai dengan etika Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), Bambang menawarkan diri meletak jawatan, tetapi ia belum diluluskan Abraham atau Presiden Jokowi.

Kemelut bermula apabila KPK mengumumkan calon Ketua Polis Indonesia pilihan Jokowi, Budi Gunawan, sebagai suspek kes rasuah.

Polis bertindak balas dengan menahan beberapa pegawai kanan KPK untuk siasatan.

Ketegangan hubungan antara polis dan KPK semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu dan dianggap cabaran terbesar Jokowi sejak dia dilantik sebagai presiden tahun lalu.

Mengikut undang-undang Indonesia, polis boleh menamakan mana-mana individu sebagai suspek dalam sesuatu kes tanpa memperincikan tuduhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:53 AM