Ahmad Sarji (dua dari kanan) pada majlis penyampaian cek Kejohanan PGM CCM Rahman Putra di Menara PNB.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua pemain golf profesional negara, Arie Ahmad Irawan dan Danny Chia berpeluang cerah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Pengerusi Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kedua-dua pemain berada dalam kedudukan terbaik kelompok 300 pemain terbaik dunia untuk layak beraksi pada temasya sukan tersebut.

Berdasarkan ranking rasmi terkini golf dunia, Arie berada di kedudukan ke-343 manakala Danny ke-399.

“Selain mereka, beberapa pemain golf profesional tempatan juga sudah mendapat tempat dalam ranking dunia. Arie dan Danny kini sudah meraih mata yang baik.

“Ada 16 lagi kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) hingga 14 Julai tahun depan untuk memperbaiki mata ranking dunia sebelum Olimpik. Mereka perlu berusaha keras memenangi kejohanan itu.

“Dengan jumlah mata diperoleh, saya percaya mereka berpeluang cerah berada dalam kelompok 300 pemain terbaik dunia,” katanya pada majlis penyampaian cek Kejohanan PGM Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) Rahman Putra, semalam.

Pemain perlu berada dalam kelompok 300 teratas dalam ranking rasmi golf dunia bagi melayakkan mereka meraih mata ke Sukan Olimpik.

Daripada jumlah berkenaan, 60 pemain akan layak beraksi di Sukan Olimpik 2016, dengan maksimum dua pemain daripada setiap negara.

Antara pemain profesional negara yang tersenarai dalam ranking golf dunia ialah Nicholas Fung di kedudukan ke-527, Gavin Green (688), Shabaan Hussin (700), Airil Rizman Zahari (718), Wilson Choo dan Rizal Amin (736).

Sementara itu, CCM memenuhi sumbangannya berjumlah RM1 juta ke arah pembangunan bakat golf di negara ini, dengan sumbangan terakhir RM200,000 sebagai penaja utama Kejohanan PGM CCM Rahman Putra.

Kejohanan itu dijadual berlangsung 18 hingga 21 Mac di Kelab Rahman Putra Malaysia, Sungai Buloh, dan merupakan pusingan ke-10 Jelajah PGM serta kejohanan keempat dipersetujui bersama dengan Jelajah Pembangunan Asia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:18 AM