Oleh Afiq Hanif


International Data Corporation (IDC) menjangkakan 10 ramalan berkaitan pasaran telekomunikasi di Malaysia yang bakal mengubah landskap memandangkan 2015 disifatkan tahun kritikal kepada penyedia perkhidmatan.

Pengurus Penyelidik Telekomunikasi, IDC Malaysia Alfie Amir berkata, jumlah perbelanjaan tahunan syarikat telekomunikasi akan mencatat pertumbuhan perlahan dari 5.5 peratus kepada 2.8 peratus saja tahun ini.

“Kelembapan peningkatan ini dijangka dari pasaran mudah alih yang dilihat berkembang perlahan pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, segmen perniagaan akan terus mendominasi pasaran talian tetap dengan catatan 59 peratus daripada jumlah keuntungan. “Di samping itu, pengguna akan menggunakan lebih banyak perkhidmatan dari perniagaan yang memerlukan rangkaian yang dipercayai dan secara tidak langsung memberi peluang perniagaan baru buat syarikat telekomunikasi kerana perniagaan bentuk baru ini memerlukan perkhidmatan lebih daripada rangkaian semata-mata,” katanya.

Selain itu, penyedia perkhidmatan talian tetap akan mengembangkan perkhidmatan ke penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mengembangkannya tiga kali lebih besar dari pasaran sedia ada. “Dengan pengembangan perkhidmatan ke solusi ICT, ia membuka pasaran baru yang boleh menggandakan pasaran sekitar RM16. 4 bilion, dijangka fokus ke penyelesaian ICT seperti perhubungan, komunikasi bersepadu dan perkhidmatan rangkaian berpengurusan.

“Penyedia perkhidmatan talian tetap akan mengubah suai solusi ICT mereka dengan fokus kepada segmen yang berpotensi tinggi manakala sektor perbankan dan kerajaan untuk pengembangan pasaran,” kata Alfie.

Menurutnya, syarikat telekomunikasi akan mula melihat model penghantaran lebih efisien bagi mengurangkan kos termasuk pasaran perkhidmatan terurus dijangka berkembang 9.3 peratus kepada RM6.4 bilion tahun ini.

“Tahun 2015 menyaksikan keuntungan panggilan suara akan menurun buat pertama kali selepas 2014 mencatatkan keuntungan perlahan pada 2 peratus saja berikutan penggunaan LTE yang semakin meluas.

“LTE dapat menyediakan VoIP dengan kualiti sama dengan perkhidmatan panggilan suara tradisional,” katanya.

Tambahnya, data mudah alih akan terus berkembang dengan teknologi ‘LTE Advanced Carrier Aggregation’ apabila penggunaan LTE di Malaysia dijangka meningkat berganda kepada 1.6 juta pengguna dengan penggunaan data mudah alihnya melebihi pengguna 3G.

“Penggunaan spektrum akan disusun semula untuk memberi ruang kepada keperluan penggunaan data mudah alih untuk menampung peningkatan penggunaan data mudah alih,” kata Alfie.

Pada tahun ini juga, syarikat telekomunikasi memanfaatkan data besar dengan membuat keuntungan dari data dalaman melalui kes mudah seperti meningkatkan prestasi pelanggan dan mengurangkan masalah sebelum menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.

“Manakala faktor terakhir termasuk Internet untuk segalanya (IoT) yang dijangka bermula di Malaysia tahun ini melalui segmen penting seperti kerajaan dan syarikat multinasional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 11:54 AM