JARI telunjuk tangan kiri mangsa tersepit hampir tiga jam.
Oleh Arifin Salleh

Melaka: Seorang pekerja wanita sebuah kedai serbaneka 24 jam terpaksa menanggung azab hampir tiga jam selepas jari telunjuk tangan kirinya tersepit pada mesin simpanan wang syiling di sekitar Bachang, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa Rohaila Rashid, 21, cuba mengeluarkan sesuatu yang tersekat di bahagian bawah mesin wang syiling itu sebelum jari telunjuknya tersepit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II, Razali Che Are berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Tambah Razali lagi, jari telunjuk mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh kurang dua jam dan mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian jari telunjuk tangan kiri diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian.

"Jari telunjuk mangsa akhirnya dapat dikeluarkan pada jam 8.54 pagi dengan selamat dan difahamkan mangsa dibenarkan pulang selepas pemeriksaan X-ray pada jari telunjuk mengesahkan tiada keretakan tulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 September 2014 @ 7:55 PM