Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) menyusun pelan strategik sebagai usaha memujuk beberapa pakar sains sukan berada di luar negara agar kembali berkhidmat bersama badan itu.

Langkah itu antara penstrukturan semula badan itu bagi mendapatkan pakar sains sukan berkualiti tinggi dalam pembangunan potensi atlet tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz (gambar) menyifatkan pelan dilaksanakan sebagai langkah serius bagi memperbaiki dan menyusun semula kelemahan wujud dalam ISN sejak beberapa tahun lalu.

“Saya menganggap langkah itu sebagai meninjau semula prospek untuk menarik mereka kembali berkhidmat di negara ini.

“Antara yang dipertimbangkan adalah merangka jawatan baru serta menawarkan gaji bersesuaian dengan tahap kepakaran masing-masing.

“Mereka kini bertugas serta melanjutkan pengajian doktor falsafah di Australia dan Hong Kong.

“Saya harap usaha ISN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menarik minat mereka kembali mencurah bakti di sini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ditanya mengapa ramai pakar sains sukan negara berhijrah ke luar negara, Ramlan yang juga pakar perubatan sukan berkata: “Sains sukan bukan bidang mudah. Kita sudah kehilangan dua atau tiga generasi pakar sains sukan disebabkan tiada jawatan tetap untuk mereka.

“Kebanyakannya bertugas secara kontrak dan tiada jawatan tetap buat mereka. Ada pakar sains mendapat tawaran di tempat lain dan ada antaranya menceburi bidang lain ketika melanjutkan pelajaran di universiti.

“Selain itu ada juga tidak memiliki kepakaran, tapi pengetahuan dianggap tidak memadai.

“Setakat ini, ISN ada seramai 37 tenaga sains sukan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda dengan menggunakan duit poket sendiri.

“Ada bahagian dalam ISN dikesan tidak seimbang dan kajian dibuat mendapati bidang pentadbiran dan kepakaran sains sains mempunyai perbezaan mencapai tahap 161 peratus keamatan (intensity),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:07 AM