APMM Wilayah Timur menahan nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Tindakan sekumpulan nelayan warga asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan ketika musim tengkujuh membawa padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Mamu Said Alee berkata, Kapal Ronda Maritim Malaysia Daerah Maritim 8 (Pahang) yang sedang menjalankan rondaan menahan dua bot nelayan warga Vietnam dengan dua tekong dan 13 awak-awak di dua lokasi berasingan kira-kira 76 batu nautika dan 61 batu nautika di timur laut Kuantan.

Beliau berkata, ketika kejadian, sebuah daripada bot terbabit sedang mencandat sotong dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal peronda APMM.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota APMM berjaya menahan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mamu Said berkata, bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran BD 95918 TS dan BD 95890 TS itu serta semua nelayan asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Terengganu, untuk tindakan lanjut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:13 AM