DUA nelayan yang hilang selepas bot mereka naiki karam ditemui lemas dan mayat tersangkut di sangkar ikan kira-kira tiga kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang. Muhammad Farid (kiri) dan Patahhul (kanan). FOTO Shaiful Shahrin
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kuala Kurau: Kedua-dua nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam akibat dipukul ombak dan ribut di perairan berhampiran Rumah Api Kuala Gula, di sini ditemui lemas oleh pasukan penyelamat pagi ini.

Mayat kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Farid Hussin, 35, berasal dari Kuala Gula dan Patahhul Karim, 27, warga Indonesia ditemui tersangkut pada sangkar ikan kira-kira tiga kilometer dari kawasan mereka dilaporkan hilang.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin itu, tiga bot nelayan dinaiki dua nelayan tempatan dan empat warga Indonesia sedang menaikkan pukat di lokasi kejadian dan dipercayai karam berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Kesemua nelayan berkenaan dikatakan sedang menaikkan pukat, sebelum kawasan perairan itu dilanda ribut dan ombak besar hingga menyebabkan ketiga-tiga bot berkenaan terbalik dan karam.

Dalam tempoh setengah jam selepas bot mereka karam terdapat sebuah bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran membantu menyelamatkan empat mangsa, manakala dua lagi gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Februari 2015 @ 1:11 PM