BONY teruja mahu tampil dalam aksi sulung bersama City.
AFP

London

Wilfried Bony percaya mampu menjadi senjata rahsia Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika dia bersedia melakukan penampilan sulung menentang Newcastle, awal pagi esok.

Bony menyertai pasukan kendalian Menuel Pellegrini dari Swansea dengan yuran £28 juta (RM157 juta) pada pasaran perpindahan pemain bulan lalu, namun belum tampil menyarung jersi City selepas menghabiskan beberapa minggu membantu Ivory Coast menjuarai Piala Negara Afrika.

Peminat City dijangka menyaksikan kelibat pemain baru berusia 26 tahun itu apabila Newcastle berkunjung ke Eastlands pada perlawanan genting dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Inggeris.

Pasukan tangga kedua, City mungkin ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Chelsea sebelum mereka turun beraksi kerana anak buah Jose Mourinho bermain lebih awal menentang kelab bermasalah Burnley.

Namun Bony yang menjaringkan 34 gol dalam 70 penampilan buat Swansea yakin dia mampu memantapkan jentera serangan City yang kadang kala bergelut apabila Sergio Aguero cedera atau tidak mempamerkan aksi terbaik musim ini.

“Rasa sudah agak lama sejak saya menandatangani kontrak itu, tapi akhirnya saya di sini, saya amat gembira dan kini hanya fokus terhadap perlawanan seterusnya,” kata Bony.

“Ia tidak mudah kerana saya baru tiba dari Afrika dan berlatih lima hari sebelum bermain menentang Newcastle.

“Jika diperlukan, saya mempunyai rekod baik menentang Newcastle. Saya menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan bertemu mereka.

“Mereka pasukan yang bagus dengan pertahanan mantap, tapi mereka hadir ke stadium kami dan kami perlu menang perlawanan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:10 AM