Kuala Lumpur: Pencapaian pingat gangsa dalam acara keirin oleh jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 di Paris semalam sememangnya membanggakan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad (gambar) mengucapakan tahniah kepada Azizulhasni kerana mempamerkan prestasi konsisten selepas memenangi acara sama pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) awal bulan ini.

“Kejayaan meraih pingat itu sekali gus memberikannya mata ranking tambahan untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan,” katanya.

Kejayaan terbaik Mohd Azizulhasni pada Kejohanan Trek Dunia UCI sebelum ini adalah dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin, masing-masing di Pruszkow, Poland dan Copenhagen, Denmark pada 2009 dan 2010.

Pada 5 Februari lalu, Azizulhasni meraih pingat emas acara keirin di Kejohanan ACC ke-35 di Nakon Ratchasima, Thailand.

Mengenai Josiah pula, Naim berkata, Kejohanan Trek Dunia UCI 2015 menjadi penyertaan terakhir pelumba berasal dari Sarawak itu dan perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Penyertaan di Paris yang terakhir buat Josiah dalam pembabitannya mengharumkan nama negara selama 15 tahun. Pihak PKBM sudah bersetuju untuk melantik Josiah sebagai pengurus pasukan trek negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

“Bagi pihak PKBM, saya mengucapkan terima kasih kepada Josiah kerana banyak menyumbang kepada arena sukan berbasikal negara,” kata Naim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Trek PKBM.

Pelumba yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 pada 2 Februari lalu, mengumumkan secara rasmi mengenai persaraan beliau menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Beliau yang dilahirkan di Manila, Filipina, pernah beraksi dua kali di Sukan Olimpik iaitu di Athens (2004) dan Beijing (2008) dan menjadi pelumba simpanan di Sukan Olimpik London (2012).

Pada penampilan Sukan Olimpik pertama di Athens, Josiah muncul pelumba Malaysia pertama berjaya melangkah ke peringkat akhir acara keirin, namun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Kejayaannya itu membolehkan Josiah dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan 2004 dan Anugerah Olimpian 2004 oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:19 AM