KUALITI padang Stadium MBPJ yang menjadi gelanggang utama KL SPA Putrajaya dikecam pasukan pelawat.
Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya

Kelab KL SPA Putrajaya tidak bercadang menukar venue gelanggang bagi kempen Liga Perdana musim ini meskipun padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus menjadi mangsa kritikan pasukan pelawat.

Terbaru rasa tidak puas hati itu disuarakan jurulatih NS Matrix K Devan selepas menyaksikan anak buahnya bergelut dalam aksi padang teruk sehingga sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan SPA Putrajaya semalam.

Menurut Devan, keadaan padang tidak rata menyukarkan pemainnya mempamerkan corak permainan diharapkan.

“Bola melantun dan pemain sukar mengawal bola. Kami pasukan yang mengamalkan corak hantaran pendek, tapi dengan keadaan padang seperti ini memang susah untuk pemain,” katanya sebaik tamat perlawanan.

Dalam aksi semalam, skuad NS Matrix mendahului pada separuh masa pertama menerusi percubaan pemain import Francis Forkey Doe pada minit ke-21 namun kedudukan itu berubah pada hujung permainan apabila penyerang gantian Nik Azlam Nik Januaha melakukan rembatan menarik dari luar kotak penalti di minit ke-81 untuk menewaskan penjaga gol Mohd Helmi Eliza.

“Memang saya tidak puas hati dengan prestasi pemain saya, mereka tidak mempamerkan aksi sebenar. Mereka tidak banyak mencipta peluang mungkin faktor cuaca panas dan keadaan padang menjejaskan permainan mereka,” kata Devan.

Bagaimanapun, bagi jurulatih SPA Putrajaya Mohd Shah Alias Norbit, beliau menganggap padang stadium itu masih dalam keadaan baik dan tidak bersetuju dengan alasan padang mempengaruhi keputusan perlawanan.

“Padang ini milik MBPJ dan kami hanya menggunakan saja. Kadang-kadang pemain guna alasan padang tak elok sedangkan padang elok. Padang ini OK, ada rumput bukan tak ada. Dulu padang ini adalah antara yang terbaik.

“Mana lagi kami nak cari tempat (stadium), inilah tempat yang sesuai untuk kami gunakan,” katanya.

Sebelum ini penolong jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Ramlan Rashid menghentam kualiti padang Stadium MBPJ yang disifatkannya kurang sesuai untuk dijadikan gelanggang perlawanan bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:22 AM