DIY Projects antara aplikasi rujukan Aliyah.

Projek kraf lazimnya berkait dengan kreativiti mahupun cetusan idea bagi menghasilkan sesuatu yang relatif untuk

diguna mahupun menarik dipandang.

Bermula dengan idea individu kemudian, menjadi ikutan untuk dipakai sendiri, hasil kraftangan, terutama membabitkan barang dalam rumah atau terpakai, mampu membantu individu berjimat selain memelihara alam semula jadi.

Dulu buku dan kelas seni menjadi rujukan peminat seni, kini ada manual boleh dimuat turun daripada aplikasi telefon pintar.

Menurut peminat seni kraf, Aliyah Raisad, 32, dia meminati kraf dan mempunyai puluhan koleksi buku mengenai projek berkenaan.

Namun ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata, ada aplikasi tertentu yang membolehkan dia merujuk lebih pantas selain banyak pilihan idea baru mengenai kraf boleh diketahui menerusi aplikasi seperti DIY Projects dan Handmade DIY.

“Saya selalu hasilkan kraftangan untuk kegunaan sendiri. Selalunya, saya buat barang hiasan mahupun keperluan anak seperti kotak pensel, beg, mahupun aksesori rambut menggunakan barang terpakai.

“Dulu rujukan saya buat menerusi buku, kini banyak pilihan aplikasi kraf atau lebih dikenali sebagai DIY (DoItYourself) ada dalam Google atau Play Store.

“Menerusi telefon pintar lebih mudah kerana saya hanya perlu ‘skrol ke bawah’ atau menaip kata kunci kraf yang ingin saya buat pada ruang pencarian, automatik aplikasi terbabit terus memaparkan pilihan ada,” katanya.

Kata Aliyah, dalam aplikasi seperti Handmade DIY, gambar dan rajah mudah difahami.

“Dalam buku, lebih leceh kerana perlu baca secara teliti, tapi dengan aplikasi sebagai contoh DIY Projects dan Handmade DIY, banyak guna rajah, ia lebih mudah difahami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:01 AM