MESSI (tengah) ledak gol untuk Barca ketika menentang Eibar.

Barcelona: Barcelona perlu mengelak daripada memikirkan pertembungan ‘El Clasico’ sebaliknya menumpukan perhatian terhadap pertemuan menentang Ajax Amsterdam pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Semua perhatian kini tertumpu ke arah La Liga apabila pendahulu, Barcelona bertandang ke Real Madrid pada Sabtu, saingan yang bakal menyaksikan penyerang Uruguay, Luis Suarez diturunkan selepas menamatkan penggantungan empat bulan kerana bersalah menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini di Piala Dunia.

Justeru, kehadiran juara Eropah empat kali, Ajax ke Nou Camp boleh dijadikan aksi pemanas badan untuk Barca.

Begitupun, kekalahan di tangan Paris St Germain sebelum ini bermakna Barca tidak boleh terlalu selesa walaupun skuad Ajax musim ini dibarisi ramai pemain muda berbanding musim lalu.

Paris St Germain mengetuai Kumpulan F dengan empat mata diikuti Barca (tiga) dan Ajax (dua).

“Perlawanan paling penting buat kami ketika ini ialah menentang Ajax dan kami mahu bermain baik untuk mendapat motivasi sebelum ke El Clasico,” kata Javier Mascherano selepas pasukannya mengatasi Eibar, 3-0 kelmarin.

“Anda tidak boleh hidup dengan sejarah semata-mata. Perlawanan menentang Ajax penting dan kami perlu tumpukan sepenuh perhatian. Jika gagal bermain baik, ia akan mempengaruhi aksi kami pada El Clasico.

“Kami perlu kuatkan mental dan memperbaiki semua aspek walaupun menang,” tambahnya. “Kami perlu membuang semua rasa panik walaupun gagal menjaringkan gol nanti.”

Kelmarin, Lionel Messi dan Neymar tetap diturunkan ketika menentang Eibar walaupun baru kembali daripada tugasan antarabangsa kerana kedua-dua pemain itu sudah meledak 17 daripada 25 gol Barca setakat ini.

Jurulatih Barca Luis Enrique mengakui sukar baginya untuk mengenepikan Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:07 AM