PENDENDANG Qamarun mahu kongsi kecintaan terhadap Rasulullah.
Oleh Amirul Haswendy Ashari

Alunan qasidah yang terbit dari bibirnya mampu membuatkan sesiapa mendengarnya terpesona. Begitu­lah penangan bakat dimiliki Mostafa Atef, 24, yang muncul melalui single Qamarun.

Kembara Qamarun bermula di Mesir, tanah kelahiran Mostafa dan tersebar jauh sampai ke benua Eropah. Kini, Qamarun dibawa ke Malaysia dan dimuat­kan dalam album Soul of Islamic Music.

Mostafa yang berkunjung ke Kuala Lumpur selama tiga hari pada 13 Februari lalu, mengakui walaupun kali pertama tiba di Malaysia, negara ini sangat dekat di hatinya.

“Saya biasa bersama orang Malaysia kerana mempunyai ramai sahabat dari Malaysia di tempat saya belajar di Fakulti Pengajian Islam dan Arab di Universiti al-Azhar, Mesir,” katanya.

Bertemankan sahabatnya sebagai pembantu mengalih bahasa, Mostafa berkata, kecintaannya terhadap perjalanan hidup Rasulullah membuatkan alunan qasidahnya seolah-olah bernyawa.

“Madah dan sabda Rasulullah SAW sangat indah untuk dihayati berbanding alunan suara saya. Saya hanya menyampaikan kecintaan saya terhadap baginda.

“Selebihnya, terpulang kepada pendengar dan saya bersyukur Qamarun berjaya mendapat tempat di hati peminat qasidah,” katanya gembira.

Mostafa akui, walaupun sibuk serta terpaksa membahagikan masa di antara kuliah dan membuat persembahan di negara asing, ia adalah pengorbanan yang perlu dilakukan.

Apatah lagi nawaitunya hanya mahu berkongsi kecintaannya terhadap Rasulullah SAW melalui qasidah yang disampaikan.

Katanya, dia perlu bijak membahagiakan masa kerana ini adalah jalan yang dipilih. Ia juga dianggap dirinya sebagai duta Universiti al-Azhar.

“Saya perlu seimbangkan pelajaran dan bidang seni. De­ngan cara itu, baru boleh menjadi contoh kepada yang lain.

“Saya berharap dapat menjelajah seluruh Asia Tenggara dan berkongsi alunan qasidah bersama masyarakat Islam di rantau ini,” katanya.

Walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris, Mostafa me­nyimpan hasrat untuk mengalih bahasa lagu Qamarun ke bahasa asing. Antara dalam perancangan ialah bahasa Melayu, Inggeris, Turki, Urdu dan Chechen.

Katanya, dengan menyanyi semula lagu dalam bahasa itu, masyarakat akan lebih memahami dan turut mengalun puji-pujian kepada Rasulullah SAW secara bebas.

Mostafa turut berterima kasih kepada Hafiz Hamidun kerana membuka peluang berada di negara ini sebagai langkah awal melebarkan sayap ke negara Asia.

Apatah lagi bermula sebagai kenalan di media sosial, Mostafa dan Hafiz sering bertukar-tukar pendapat dan idea mengenai muzik.

Dari situ, Hafiz mengajaknya ke Malaysia untuk mempromosi single terbarunya. Biarpun menjalani peperiksaan dan kuliah yang padat pada semester ini, Mostafa sedaya upaya memenuhi undangan Hafiz.

“Lagu yang saya alunkan hanya berkumandang di tanah Arab dan tiba masanya untuk memperluaskannya. Pada usia begini, saya berpeluang berkongsi pentas dengan Maher Zain dan beberapa penyanyi nasyid lain di beberapa konsert.

“Jika tiada aral, saya ingin berkolaborasi dengan mereka lagi dan mungkin juga (penyanyi) dari Malaysia,” katanya yang pernah muncul dengan album sulung, Syukran Habibi (Terima Kasih Cintaku) pada 2009.

Mustafa sempat membuat persembahan di Masjid as-Syakirin KLCC, Busking Jam Hot FM di Dataran Bandaraya Ipoh (Perak), Seberang Perai (Pulau Pinang) dan Seremban (Negeri Sembilan).

Dalam pada itu, Hafiz, 30, yang turut serta pada sesi fotografi mengakui sambutan masyarakat setempat terhadap irama qasidah menimbulkan idea untuk memperkenalkan Mustafa ke sini.

Katanya, Mostafa mungkin baru di Malaysia tetapi namanya menjadi sebutan di negara Arab dek alunan qasidahnya yang indah.

“Tambah pula dia masih muda dan remaja. Mungkin dengan adanya ikon muda seperti Mostafa dapat menarik minat lebih ramai golongan muda meminati qasidah.

“Perancangan membawanya ke sini mengambil masa sebulan kerana jadual kuliah dan persembahannya padat. Syukur, akhirnya dia dapat meluangkan masa dan mengenali Malaysia walaupun kunjungannya hanya sekejap,” kata Hafiz.

Popular dengan lagu Jodoh Berdua dan zikir Astagfirullah, Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun bergerak solo pada 2007 dan merakam lima album bersama syarikat produksinya, Arteffects Production yang kini dinaik taraf menjadi Arteffects International.

Antara albumnya, Hafiz Hamidun berkonsepkan Pop Na­syid menampilkan 10 lagu dan antara hits utama, Kesaktian Cinta dan Melihat Bintang.

Kini Hafiz lebih dikenali selepas menghasilkan album Zikir Terapi Diri pada 2011 diikuti dua lagi album zikir, Zikir Terapi Diri 2 (2013) dan Zikir Terapi Diri 3 (2014).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:06 AM