London: Hugo Lloris berkata kunjungan West Ham United ke White Hart Lane malam ini menandakan detik penting buat Tottenham Hotspur memburu empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino ketika ini menduduki tangga keenam, tiga mata di belakang Southampton yang berada di tangga keempat, gagal mengatasi Arsenal selepas kalah tipis kepada Liverpool.

Memandangkan begitu banyak pasukan masih memburu kelompok empat pasukan teratas, prestasi konsisten akan menjadi kunci Spurs layak ke Liga Juara-Juara.

Biarpun Lloris menegaskan pasukan Pochettino berada di tahap terbaik, penjaga gol Perancis itu sedar mereka perlu mendapat tiga mata dengan menewaskan West Ham jika mahu bangkit daripada kekecewaan akibat jaringan kemenangan saat akhir Mario Balotelli di Anfield.

“Kami agak kecewa selepas perlawanan Liverpool kerana saya fikir kami berhak mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata tetapi itulah bola sepak dan kami kalah,” kata Lloris.

“Bagaimanapun kami mahu bangkit dan meraih tiga mata ke atas West Ham.”

Lloris percaya, peningkatan prestasi Spurs adalah disebabkan pengaruh Pochettino yang semakin meluas sejak datang dari Southampton.

“Kami berada di tahap terbaik dan kini berada di tahap paling penting musim ini dan setiap mata akan memberi kesan kepada liga.

“Bukan mudah apabila anda memulakan musim pertama di kelab baru tetapi saya fikir pengurus melakukannya dengan baik dan cuba mendapatkan persembahan terbaik.”

Keputusan seri 1-1 dengan Fiorentina dalam saingan Liga Europa Khamis lalu bermakna, skuad Pochettino berdepan perlawanan mencabar di Itali untuk perlawanan timbal balik, Khamis depan, tiga hari sebelum final Piala Liga menentang Chelsea.

Jadual padat itu bakal memberi kesan terhadap kempen kelab itu musim ini dan Pochettino berkata: “Ia satu detik kritikal untuk kempen kelab musim ini kerana terlalu banyak perlawanan akhir.

“Perlawanan Ahad (menentang West Ham) adalah perlawanan akhir, Khamis juga perlawanan akhir dan Ahad depan dalah final Piala Liga.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:11 AM
Skip this ad x