ISKANDAR antara 10 atlet layak beraksi di Singapura.
 Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih mengharapkan sentuhan pelari 400 meter lari berpagar negara Noraseela Khalid menjelang temasya dwi tahunan Sukan SEA yang akan berlangsung di Singapura Jun ini.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim tidak menolak untuk menyenaraikan atlet senior negara itu namun dengan syarat pelari berusia 36 tahun itu perlu melepasi syarat kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, berdasarkan rekod kemampuan atlet itu tidak perlu dinafikan kerana mampu menghadiahkan pingat buat negara namun Karim menegaskan KOM terpaksa mengikut syarat dan terma ditetapkan.

“Kami tiada masalah menghantar atlet senior contohnya seperti Seela kerana dia sebelum ini membuktikan keupayaannya memberikan pingat kepada negara. 

“Tapi KOM tidak menolak seandainya dia tidak melepasi syarat kelayakan, lebih wajar peluang itu diberikan kepada atlet junior seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu menjadikan Sukan SEA sebagai platform pendedahan kepada atlet remaja,” katanya. 

Mahu bertindak lebih tegas dalam pemilihan atlet ke Sukan SEA kali ini, Karim menegaskan peluang akan lebih diberikan kepada atlet remaja berbanding senior yang sebelum ini tidak memberi impak atau pingat di Sukan SEA.

Jelasnya, kriteria pemilihan atlet kali ini akan dinilai dari semua aspek dan tidak menolak menyenaraikan 12 atlet remaja yang memberikan pingat di Sukan Sekolah Asia tahun lalu. 

Karim berkata, beliau yakin lebih ramai atlet mampu melepasi syarat kelayakan apabila tamatnya Kejohanan Terbuka Malaysia dari 26 hingga 28 Mac biarpun hanya 10 atlet layak secara merit setakat ini.

Sepuluh atlet yang layak membabitkan Nauraj Singh (lompat tinggi), Iskandar Alwi (lompat bergalah), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Ashraf Saipulrahman (lompat tinggi), Mohamad Arif Zulhilmi Alet (400m), Yap Jeng Tzen (lempar cakera), Grace Wong (lempar tukul besi), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m,200m), Casier Renne Kelly Lee (lempar tukul besi) dan Noor Amira Mohamad Nafiah (lompat jauh).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:40 AM