PENGGUNAAN gas nitrus oksida membantu menenangkan pesakit yang terlalu gelisah.
PENGGUNAAN gas nitrus oksida membantu menenangkan pesakit yang terlalu gelisah.
DR Siti Hafizatun sarankan pesakit berbincang dengan doktor bagi redakan fobia.
DR Siti Hafizatun sarankan pesakit berbincang dengan doktor bagi redakan fobia.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Ramai dalam kalangan kita yang mempunyai rasa takut melampau atau fobia berjumpa doktor gigi bagi mendapatkan rawatan setiap kali mengalami kesakitan gigi, sehingga ada yang sanggup menelan pil penahan sakit, berbanding segera membuat temu janji di klinik.

Doktor gigi yang juga pemilik klinik gigi Dutamas Dental, Dr Siti Hafizatun Abdul Shookor berkata, masalah fobia bertemu doktor gigi sememangnya wujud tidak kira peringkat umur, sama ada kanak-kanak mahupun

dewasa.

Katanya, fobia bertemu doktor gigi kemungkinan besar berputik ketika zaman persekolahan lagi ketika mereka berdepan dengan doktor gigi yang garang, kurang sabar atau bersikap kasar.

“Ketika zaman persekolahan, akan ada doktor gigi yang membuat rawatan pergigian dan mungkin ketika itu doktor berkenaan bersikap garang atau kasar ketika merawat, sehingga membuatkan sesetengah orang mempunyai persepsi negatif terhadap rawatan gigi.

“Ramai yang berasa bimbang dan takut untuk mendapatkan rawatan gigi hingga sanggup bergantung kepada pil penahan sakit, bukannya menyelesaikan masalah gigi yang dihadapi.

“Bagi saya apa yang sepatutnya dilakukan pesakit adalah segera mendapatkan rawatan kerana jika dibiarkan, kesakitan mungkin boleh menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui di kliniknya di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagipun menurut Dr Siti Hafizatun, jika dibiarkan, masalah berkenaan akan berterusan dan tidak selesai sampai bila-bila. Ini kerana lambat laun pesakit tetap perlu menjalani rawatan kerana tidak mungkin mereka

dapat bergantung selamanya kepada ubat tahan sakit.

Tidak menolak ramai mempunyai perasaan gemuruh bertemu doktor gigi, dia berkata, ada antaranya terus menangis sebaik doktor menerangkan prosedur yang akan dijalankan misalnya pembedahan gigi geraham atau mencabut gigi yang rosak.

Katanya, perasaan takut dalam kalangan segelintir pesakit boleh melambatkan atau mengganggu proses rawatan kerana ada yang ‘melawan’, ‘terkejut-terkejut’ atau menolak tangan doktor yang sedang melakukan prosedur merawat.

Apa yang orang ramai perlu tahu adalah teknologi berkaitan rawatan gigi sudah semakin maju dan sangat berbeza berbanding zaman dulu.

“Jika dalam kalangan kanak-kanak pula, ramai yang menangis dan enggan dirawat biarpun berada dalam kesakitan yang amat. Kita semua tahu bahawa sakit gigi antara rasa sakit yang paling teruk sehingga ada yang demam apabila gigi bengkak,” katanya yang boleh dihubungi melalui [email protected] serta www.dutamasdental.com.

Selain itu, kata Dr Siti Hafizatun, ketakutan berjumpa doktor gigi juga berpunca daripada persepsi segelintir masyarakat

yang percaya mencabut gigi boleh memberi kesan negatif pada bahagian saraf mata atau otak, sedangkan ia adalah mitos semata-mata.

Namun katanya, doktor perlu bijak apabila berdepan dengan pesakit sebegini, antaranya berbincang mengenai ketakutan

dan memberi penerangan lengkap supaya mereka lebih memahami prosedur yang dijalankan.

“Sakit gigi perlu dirawat segera kerana kesakitan yang ditanggung bukan sedikit. Lagipun jika tidak dirawat, sakit itu tidak akan hilang, malah bertambah.

“Saya akan berbincang dengan pesakit mengenai masalah fobia yang dialami. Kalau boleh saya mahu pesakit lebih terbuka menerima rawatan yang secara jelas memberi kebaikan kepada mereka.

“Begitu juga dengan kanak-kanak, saya akan bertanya atau melihat bagaimana reaksi mereka sama ada sukar atau mudah dirawat,” katanya.

Menurutnya, objektif kliniknya adalah memberikan pengalaman rawatan gigi sebaik mungkin dan dia memfokus kepada rawatan tanpa rasa sakit, supaya pesakit tidak akan trauma atau menjadi fobia berjumpa doktor gigi bagi rawatan seterusnya.

Bagi mencapai hasrat itu, dia turut menawarkan rawatan alternatif kepada pesakit yang terlalu takut menjalani rawatan iaitu dengan penggunaan gas nitrus oksida yang mampu menenangkan pesakit ketika dirawat supaya mereka tidak terlalu gelisah atau takut.

Penggunaan gas nitrus oksida dalam rawatan pergigian bukanlah sesuatu yang baru. Di Eropah kaedah ini sudah bermula sekitar 1960-an lagi, tetapi di negara ini, ia kurang dikenali atau digunakan di klinik gigi, kemungkinan disebabkan oleh kos mesin dan operasi yang tinggi.

Dr Siti Hafizatun berkata, kelebihan penggunaan gas yang terdiri daripada 20 hingga 30 peratus nitrus oksida dan selebihnya oksigen adalah pesakit akan lebih mudah memberi kerjasama dan tidak terlalu mengikut emosi hingga menyebabkan rawatan tergendala.

“Selalunya saya tidak akan terus menawarkan penggunaan gas ini sebaliknya lebih suka kalau pesakit mengatasi sendiri rasa takut selepas memahami prosedur yang akan dijalankan.

“Namun memang ada kes yang memerlukan bantuan gas ini supaya urusan merawat menjadi lebih lancar khususnya pada kanak-kanak yang sememangnya akan takut dan menangis jika perlu membuat rawatan seperti mencabut atau menampal gigi,” katanya.

Gas berkenaan akan membuatkan pesakit berasa lebih tenang, tetapi mereka masih berada dalam keadaan sedar dan boleh mengikut arahan.

Katanya, jumlah dos gas yang dipasang pada bahagian hidung menggunakan mesin khas, ditentukan berdasarkan penerimaan pesakit itu sendiri, sama ada mereka mampu mengatasi rasa takut atau masih berada dalam keadaan ketakutan.

“Selepas lima minit gas diberikan, pesakit biasanya akan mula tenang dan lebih mudah memberi kerjasama untuk rawatan. Selalunya penggunaan gas ini tidak lama, antara 45 minit hingga satu jam bagi prosedur yang menyakitkan seperti pembedahan kecil gusi.

“Sebaik gas tidak disalurkan lagi, pesakit akan kembali seperti biasa dalam tempoh lima minit. Ia digunakan semata-mata bagi membuatkan pesakit tenang dan rasa lebih selesa menjalani rawatan,” katanya.

Bagi mereka yang mengalami perasaan gemuruh melampau, Dr Siti Hafizatun turut menasihatkan golongan ini mencari doktor gigi yang bersesuaian, mudah berbincang, sabar serta bersedia melakukan rawatan secara berperingkat.

1. Apa itu nitrus oksida?

Nitrus oksida adalah gas yang digabungkan bersama oksigen untuk membantu menenangkan pesakit berkaitan masalah gigi. Apabila disedut dan diserap oleh tubuh, gas itu mempunyai kesan semula jadi yang menenangkan pesakit dan hanya bertahan selagi ia disalurkan sepanjang prosedur dijalankan.

2. Adakah nitrus oksida selamat?

Ya, ia diketahui sebagai ubat pelali paling selamat digunakan dalam rawatan pergigian masa kini. Ia memberi kesan lembut, tidak bertoksik dan keluar daripada badan secara semula jadi selepas tamat prosedur. Pesakit yang menyedut gas ini berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan boleh memberi tindak balas.

3. Adakah nitrus oksida selamat untuk kanak-kanak?

Ya, ia gas pelali paling selamat unutk kanak-kanak. Sesetengah kanak-kanak terlalu gementar atau takut untuk menjalani rawatan yang penting untuk gigi mereka dan memerlukan bantuan gas ini untuk membantunya dirawat dengan sempurna.

4. Apakah kelebihan penggunaan gas nitrus oksida?

Ia bertindak dengan pantas. Dalam hanya beberapa minit selepas diberikan pada pesakit, rasa takut bertukar kepada perasaan tenang. Dos diberikan pula boleh diubah suai dengan mudah dan cepat.

Tempoh ia lupus dari sistem badan dan membantu diri kembali kepada keadaan asal juga berlaku dengan pantas iaitu antara tiga ke lima minit sebaik saluran gas ditamatkan.

5. Adakah nitrus oksida sesuai buat diri saya?

Berbincang terlebih dulu dengan doktor anda untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah gemuruh menjalani rawatan gigi. Sekiranya tidak pasti dengan rawatan itu, tanya sebanyak mungkin untuk mendapatkan maklumat penuh sebelum memilih gas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 11:48 AM