Kuala Lumpur: Pemain Taiwan Hsieh Su-wei dan Zheng Saisai (gambar) dari China akan kembali beraksi di negara ini untuk mengetuai cabaran Asia pada Terbuka Malaysia BMW di Kelab Golf Diraja Selangor dari 2 hingga 8 Mac ini.

Su-wei, 29, juara Terbuka Malaysia BMW 2012, kembali dengan harapan untuk menyambung semula aksinya dalam acara perseorangan, manakala Saisai, 21, yang kini pemain ke-76 dunia, berhasrat mengejar kejayaan lebih membanggakan bagi dirinya.

Kedua-dua pemain berkenaan pernah beraksi di Kuala Lumpur, dengan Su-wei merangkul kejuaraan tiga tahun lalu, manakala Saisai yang berpasangan dengan Chang Yung-jan, muncul naib juara acara beregu, tahun lalu.

Kenyataan penganjur kejohanan berkata, Saisai masih memburu kejuaraan kali pertama dalam acara perseorangan selepas meraih gelaran juara acara beregu Persatuan Tenis Wanita (WTA) ketika berpasangan dengan Su-wei pada Terbuka Wanita Antarabangsa Guangzhou 2011. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 6:59 AM