Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas mempamerkan aksi kurang bermaya ketika seri 1-1 menentang SPA Putrajaya dalam aksi Liga Perdana, Jumaat lalu, pemain Negeri Sembilan (NS) Matrix diharap memperagakan prestasi sebenar pada perlawanan akan datang bagi memastikan tidak tercicir mata berharga.

Ketua jurulatih K Devan (gambar) berkata, beliau bimbang kehilangan fokus pemain boleh mengakibatkan impian mencapai kemenangan terjejas, sekali gus menggugat kedudukan dalam carta liga.

Menurutnya, mereka juga tidak boleh kehilangan mata kerana boleh mengganggu usaha merangkul kejuaraan.

“Kegagalan menang ke atas SPA Putrajaya itu kerana merugikan kerana walaupun dapat kekalkan rekod tanpa kalah, tapi kehilangan dua mata sukar diterima terutama ketika kami menguasai sepenuhnya perlawanan selain mencipta banyak peluang,” katanya semalam.

Mengenai cabaran menentang UiTM FC pada saingan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini, beliau berkata, kemenangan perlu direalisasikan untuk memastikan Negeri Sembilan dapat terus bersaing pada saingan kalah mati itu.

“Biarpun saingan berbeza, Piala FA juga antara sasaran utama kami musim ini dan saya berharap pemain menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menewaskan UiTM FC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:12 AM