BAHAGIAN luar reban yang dijadikan kediaman keluarga Nur Jasrina.
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Selama sebulan sembilan beranak dari Kampung Bekok di sini menjadikan reban ayam sebagai kediaman sementara mereka, malah sudah semakin selesa disebabkan rumah kekal rosak teruk akibat banjir, Disember lalu.

Walaupun reban berkenaan kotor dan tidak sesuai dihuni, namun keluarga terbabit lebih selesa di situ memandangkan khemah sementara yang disediakan terlalu kecil untuk menampung mereka.

Ia juga dipasang di tepi jalan di depan kediaman yang musnah menyebabkan mudah terdedah bahaya selain berdebu.

Nur Jasrina Jaafar, 30, berkata, mereka sekeluarga memilih menghuni reban ayam itu yang terletak di Kampung Chenis Bekok disebabkan tiada pilihan lain dan tidak mampu membaiki rumah rosak.

“Reban ini kepunyaan abang ipar dan untuk tempoh ini, tiada ayam kampung diletakkan di sini, maka kami gunakan sementara sebagai kediaman.

“Sekurang-kurangnya lebih selesa untuk dihuni bersama enam anak berusia satu hingga 10 tahun selain ibu mentua yang berusia 71 tahun.

“Kalau diikutkan memanglah tiada siapa yang mahu tinggal dalam reban. Ia bukan rumah untuk manusia tapi ternakan, namun kami tiada pilihan memandangkan khemah sempit, juga bahaya untuk anak-anak kerana lokasinya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 8:27 AM