Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Anugerah MeleTop Era 2015 (AME2015) malam kelmarin menjadi milik pelawak, pelakon, dan penyampai radio, Johan yang membawa pulang empat trofi iaitu Program Radio MeleTop menerusi Johara, Pe­nyampai Radio MeleTop, Artis Lawak MeleTop dan TopTop MeleTop Lelaki.

Paling mengejutkan pastinya kategori paling berprestij AME2015 iaitu TopTop MeleTop Lelaki terutama ketika Johan atau nama penuhnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 30, kebelakangan ini jarang muncul dengan filem atau drama baru kecuali hanya aktif sebagai penyampai radio Era FM.

Apa yang pasti, kelompok peminatnya masih utuh hingga dia mendominasi kemenangan malam itu.

Barangkali, atas sebab itu juga terpancar kehairanan dan kejutan di wajah Johan yang juga pengacara pada malam itu bersama Datuk AC Mizal, Neelofa, Nabil dan Zizan Razak sewaktu diumumkan sebagai pemenang trofi TopTop Meletop Lelaki.

Pelakon baru, Ayda Jebat turut mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai pemenang kategori TopTop MeleTop Wanita dan Artis Baru MeleTop.

Berkongsi kegembiraan kemenangan itu, menurut Johan, dia tidak menafikan semua itu rezeki semata-mata selain kesungguhannya bekerja keras selama ini hanya untuk kesenangan keluarganya.

“Dengan keadaan yang sedikit kelam-kabut di belakang pentas, sebenarnya saya sendiri cuma fokuskan kepada tugas sebagai pengacara dan mahu bergembira semata-mata malam itu.

“Malah, saya sendiri tidak tahu siapa pemenang lain dan disebabkan itu saya terkejut apabila nama saya di­umumkan,” katanya.

Johan berkata, kemenangan itu ditujukan khas buat isteri dan anak-anaknya yang sentiasa menyokong.

“Dialah yang sentiasa mengingatkan saya agar terus memperbaiki diri. Dia juga penilai utama di belakang tabir untuk memastikan saya terus berikan aksi terbaik.

“Tidak dilupakan juga peminat yang menjadi tulang belakang selama ini membakar lagi semangat untuk terus menjadi terbaik. Momen ini memang akan saya kenang sampai bila-bila kerana sememangnya ia meninggalkan nostalgia yang suatu hari nanti dan boleh diceritakan kepada anak dan cucu,” katanya.

Berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, selain Johan, turut unggul membawa pulang beberapa trofi malam itu adalah Datuk Siti Nurhaliza menerusi Bintang Online MeleTop dan Penyanyi MeleTop.

Menjadi antara tumpuan dan perbualan malam itu, Ayda yang meledak menerusi drama Rindu Awak 200% pula tidak menafikan mungkin berkongsi undian peminat Zul Ariffin yang turut mengungguli kategori Pelakon TV MeleTop.

“Saya memang tidak sangka kerana awalnya saya sendiri pun menjangkakan Datuk Siti Nurhaliza akan membawa pulang trofi TopTop MeleTop Wanita itu. Dari segi undian pula, mungkin memang benar peminat Zul secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan saya,” katanya.

‘Otai’ menyinar di pentas

Dari segi persembahan malam itu, jelas kuasa penyanyi ‘otai’ nampaknya belum mampu digugat apabila membuktikan persembahan mereka masih memberi impak luar biasa.

Datuk Ramli Sarip ketika mengambil alih pentas menyanyikan lagu Teratai, atmosfera stadium bertukar menjadi gamat menikmati vokal berbisa penyanyi itu.

Demikian juga Datuk Jamal Abdillah berjaya menghangatkan suasana apabila menyanyikan lagu Azura dan Derita Cinta dengan vokal memukau.

Segmen pembukaan tidak ketinggalan agak menarik apabila penyanyi pelbagai generasi dipersatukan di atas pentas apabila Wings muncul sebagai artis pembuka dengan lagu Menakluk Kosmos dan Opera Hidup.

Kemudian, rapper hebat gandingan Joe Flizzow dan SonaOne pula mendendangkan lagu Baek dan Hakeleh.

Berjaya menaikkan suasana, kumpulan rap 1990-an iaitu Nico tampil bersahaja dengan menyanyikan lagu keramat mereka, Inilah Nasibku. Memberikan kejutan, buat pertama kali selepas sekian lama, tujuh anggota 4U2C termasuk hos Datuk AC Mizal memukau penonton dengan koreografi tarian mantap mereka menerusi lagu Kami Rappers Yo.

Sedikit dramatik, sewaktu segmen persembahan lagu Mewangi oleh Akim & The Magistrate pula dimulakan dengan aksi terbang Akim sebelum menyertai anggota band lain di pentas.

Segmen khas persembahan daripada barisan peserta Maharaja Lawak Mega iaitu Shuib Sepahtu, Jep Sepahtu, Tauke, Mie, dan Pak Yus turut yang menggelar kumpulan mereka sebagai Lima Bara mempertontonkan bakat muzik mereka bermain lagu Ku Di Halaman Rindu dan Fantasia Bulan Madu.

Persembahan lain termasuklah gandingan suami isteri Jaclyn Victor dan Shawn Rivera yang mendendangkan lagu John Leged, All Of Me, band Indonesia, Repuvlik dengan Isabella dan Selimut Tetangga, serta penutup oleh Siti Nurhaliza menerusi Mahligai Permata dan Ya Maulai.

Turut diselitkan, beberapa babak drama sebagai gimik seperti Neelofa berlakon sebelum mempersilakan Jamal Abdillah naik pentas, Erra masuk stadium dengan menaiki motosikal, serta Neelofa diiringi lelaki berpakaian kostum Cicakman.

Pada malam itu, selain hos utama, dua penyampai baru Era FM, Radin dan Hani Fad­zil mengendalikan pentas sewaktu selingan iklan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:48 AM