Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menetapkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara mandatori mulai September ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan itu akan dilaksanan secara berperingkat dan kutipan sisa yang diasingkan akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, ia akan dijalankan sepenuhnya di negeri yang menggunapakai Akta 672 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

"Kerajaan berharap rakyat dapat bekerjasama untuk melaksanakan program pengasingan sisa di punca, yang pastinya dapat menjana faedah besar kepada rakyat.

"Pelaksanaan peraturan baru ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan aktiviti 3R (reduce,reuse, recycle)," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, pelbagai usaha sudah dilaksanakan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai amalan kitar semula tetapi tahapnya masih rendah dengan kadar kitar semula nasional ketika ini hanya 10.5 peratus sahaja daripada jumlah bahan buangan yang dilupuskan berbanding lebih 40 peratus di negara maju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 10:58 AM
Digital NSTP Subscribe