FOTO yang tersebar dipercayai berlaku di Mexico.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Polis Klang Selatan menafikan penyebaran gambar kepala dua lelaki yang didakwa dipenggal di daerah itu adalah anggota kongsi gelap yang terbabit dalam pergaduhan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, semakan mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku di daerah berkenaan.

Menurutnya, setakat ini keadaan di daerah Klang masih terkawal dan anggota polis ditempatkan dalam keadaan bersiap sedia jika berlaku sebarang kekecohan.

"Gambar yang disebarkan itu tidak benar dan ia hanya akan mengundang rasa bimbang masyarakat setempat.

"Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dan tidak terus menyebarkan gambar palsu itu kerana mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu bakal berdepan tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Gambar yang tersebar menunjukkan dua kepala lelaki dipenggal dan kejadian itu didakwa berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di daerah ini baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 5:31 PM