Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bersedia untuk merangkul kejuaraan keduanya tahun ini apabila tiba di Chicago Isnin lalu bagi mengharungi Terbuka Windy City 2015.

Nicol yang masih segar dengan kejuaraan sulung tahun ini Kejohanan Cleveland Klasik mengakui sudah tiba di bandar yang terletak di negeri, Illinois.

“Bertolak dari Mexico City ke Chicago untuk kejohanan sulung Terbuka Windy City. Terima kasih Mexico,” katanya dalam laman sosial, Twitter.

Di Mexico, pemain berusia 31 tahun itu sempat mengadakan perlawanan pertunjukan menentang ikon skuasy negara itu Samantha Teran.

Esok dia akan turun ke gelanggang di Universiti Club bertemu pemain tuan rumah Olivia Blatchford di pusingan pertama.

Turut beraksi di pusingan pertama Low Wee Wern yang akan bertemu Habiba Mohamed dari Mesir.

“Saya berasa sangat luar biasa minggu ini selepas pulang ke tanah air selama dua minggu dan kembali berlatih.

“Seperti biasa saya mensasarkan mara ke suku akhir terlebih dulu namun di pusingan pertama lagi saya bakal mendapat tentangan sengit,” kata Wee Wern.

Katanya, walaupun kali pertama bertemu Habiba, pemain itu sudah menewaskan beberapa pemain dari ranking 10 terbaik dunia sebelum ini.

Ditanya sama ada dia masih dibelenggu masalah kecederaan paha, Wee Wern berkata, sudah 100 peratus sembuh dan akan beraksi di Terbuka Britain pula selepas ini.

Selain Nicol dan Wee Wern, Malaysia turut diwakili Mohd Nafiizwan Adnan dan Delia Arnold yang sekarang ini masih bertarung di pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 6:49 AM